Nasib 650,000 Pekebun Kecil Terumbang Ambing, Kerajaan Dirayu Kembalikan Bantuan Tanaman Semula

380

SHAH ALAM – Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) mendesak kerajaan mengembalikan skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil sawit di negara ini kerana kaedah pinjaman bagi tujuan tersebut membebankan mereka.

Presidennya, Datuk Aliasak Ambia berkata, nasib dan kebajikan 650,000 pekebun kecil tidak sama seperti mereka yang diselia dan dijaga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) atau Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

“Kebanyakan pekebun kecil ini mengusahakan tanaman sawit secara sendirian. Jika mereka perlu mengambil pinjaman bagi tujuan penanaman semula, bagaimana mereka mahu membayar pinjaman sedangkan tanaman mereka belum mengeluarkan hasil.

“Bagi pekebun di bawah seliaan Felda dan Felcra, mereka diberikan elaun sara hidup bermula daripada proses penanaman semula sehingga hasil keluar. Sepatutnya kerajaan membuat kajian terperinci mengenai keputusan ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) bagi membantu pekebun kecil melakukan penanaman semula.

Mereka yang layak menerima bantuan kewangan sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar yang diusahakan di bawah skim TSSPK berkenaan.

Mengulas lanjut, Aliasak berkata, pengenalan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) bakal mengurangkan penanaman semula sawit oleh pekebun kecil kerana kekangan dari sudut kemampuan untuk membuat pinjaman.

“Dalam keadaan harga sawit yang merudum, pekebun kecil berdepan dengan masalah kewangan untuk membayar pinjaman tersebut. Pendapatan kurang bagaimana nak bayar pinjaman.

“Kedua, apabila tanaman semula berkurang bagaimana nak dapatkan Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Kelayakan untuk mendapatkan MSPO ini berkait rapat dengan soal penanaman semula sawit,” katanya.

Jelasnya, industri sawit di Malaysia menyumbang sekitar RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun kepada ekonomi negara dan jika penanaman semula berkurangan, ia secara tidak langsung mengecilkan jumlah

pendapatan negara bagi sektor komoditi tersebut.

“Kita boleh anggap bantuan penanaman semula sawit ini kepada pekebun kecil sebagai satu bentuk pelaburan untuk mereka dan negara,” ujarnya.

Katanya, pinjaman bagi tujuan penanaman semula hanya akan mendidik pekebun kecil untuk meminjam dengan institusi kewangan tanpa disedari mereka sebenarnya berisiko berdepan masalah kewangan serius.

“Harga sawit tidak menentu dan pekebun kecil terpaksa meminjam wang bagi tujuan penanaman semula supaya memenuhi standard bagi mendapatkan MSPO. Sebenarnya pekebun kecil berada dalam keadaan tersepit.“Kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permasalahan yang dihadapi oleh pekebun kecil di negara ini,” katanya.