Norhizam Akan Pantau Ladang Babi Moden Di Melaka

1190

MELAKA TENGAH – Rumah Penyembelihan babi moden atau ‘Abattoir’ yang telah siap dibina akan mula beroperasi selepas mendapat kelulusan Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi, Norhizam Hassan Baktee, berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu jawapan daripada kementerian berkenaan dan sekiranya ia telah beroperasi, ‘abattoir’ lama akan ditutup dan seterusnya dirobohkan.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan isu pencemaran berpunca daripada air kumbahan haiwan itu tidak berulang lagi hingga berlaku pencemaran air dan bau, sekali gus bertepatan dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan Perladangan Babi Moden (MPF) sebagai usaha mentransformasikan penternakan babi di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa memantau aktiviti penternakan babi dan membuat bancian semasa dengan merekodkan kira-kira 40,215 ekor babi termasuk 4,333 kategori babi induk dengan had kuota kerajaan negeri sebanyak 48,300 ekor.

“Bila ada perladangan babi moden najis kumbahan disalurkan dengan cara yang betul jadi tak ada masalah dan kita pantau.

“Kerajaan terdahulu tak beri lesen kepada penternak khinzir, dan kami berikan lesen serta dipantau dari segi persekitaran dan juga air kumbahan,” katanya.

Norhizam (DAP-Pengkalan Batu) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Othman (BN-Kuala Linggi mengenai perladangan babi moden telah dipraktikkan ataupun sebaliknya.

Tambah Norhizam, lokasi MPF juga tidak akan dipindahkan ke tempat lain dan akan terus kekal di Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru kerana di kawasan itu telah ada tempat bagi pengasingan air kumbahan dan untuk dipindahkan sudah pasti ia satu pembaziran dan memerlukan kos yang agak besar.

“Kita tak ada masalah ia dikekalkan (lokasi), memang dah dibina dengan jutaan ringgit, agak rugi sekiranya dipindahkan ke tempat lain.

“Saya bersama Jabatan Veterinar turun padang dan mereka membuat pengiraan (binatang) itu dengan dipantau oleh saya,” katanya.