Orang Melayu Bakal Merempat Jika Terima Tawaran Terbaru Kerajaan Bagi Pembelian Tanah Kampung Baru

465

Orang Melayu akan merempat jika penduduk di Kampung Baru bersetuju menerima tawaran baharu oleh kerajaan bagi pembelian tanah di kawasan itu.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (Mas), Shamsuri Suradi berkata, tawaran terbaru itu dilihat seolah-oleh seperti wujud satu agenda tersembunyi bagi mengusir orang Melayu dari bandar raya Kuala Lumpur.

Shamsuri mengingatkan penduduk Kampung Baru supaya tidak terpengaruh dengan tawaran baharu yang diumumkan tersebut.

“Tanah Kampung Baru ini bukan hak individu tapi harta pusaka yang tidak boleh dijual kerana hasil titik peluk moyang terdahulu.

“Habislah kaum Melayu yang menetap di bandar raya ini kalau tanah yang dipertahankan sejak beratus tahun lalu dijual,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan kadar baharu ditetapkan kerajaan bagi pembelian tanah di Kampung Baru dengan nilai RM1,000 satu kaki persegi.

Pengumuman itu dibuat Khalid selepas perbincangan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan kemelut pelan pembangunan kampung di kampung itu.

Mengulas lanjut, Shamsuri berkata, pihaknya juga yakin majoriti penduduk di Kampung Baru tidak bersetuju dengan tawaran baharu yang diumumkan itu.

“Penduduk mahu pembangunan dan bukannya penjualan tanah. Biarlah pembangunan itu memakan masa dan dilaksanakan satu persatu.

“Sedangkan Putrajaya pun mengambil masa untuk pembinaan dari tahun 1998 dan seperti kita lihat sekarang baru nampak hasilnya,” katanya.

Tambah Shamsuri, MAS juga menolak dakwaan Khalid dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) yang mengatakan bahawa kebanyakan penduduk Kampung Baru bersetuju dengan tawaran baharu itu.

“Kampung Baru ada tujuh kampung. Saya nak mereka tunjukkan kepada Mas satu lot daripada setiap kampung berkenaan yang dikatakan bersetuju dengan penjualan ini,” katanya.