Osman Sapian Sifatkan Dakwaan Kedudukan Melayu Terancam Hanyalah Retorik Politik Mengarut

374

Orang Melayu perlu keluar daripada momokan bahawa kedudukan mereka terancam jika mahu bergerak ke hadapan dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara, kata Menteri Besar Johor Osman Sapian.

Berucap di Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia: Dasar Bumiputera di UiTM Shah Alam hari ini, Osman berkata ia berterusan sejak dulu lagi walaupun ia hanyalah “retorik politik mengarut” yang dilaungkan golongan yang berpaut pada politik laungan.

“Walaupun sudah ramai Melayu yang berpendidikan, kita masih tak mampu meyakinkan diri sendiri bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan Melayu di negara ini yang jelas mempunyai hak dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

“Mungkin disebabkan kita sering menggunakan emosi yang jelas tidak membantu menyelesaikan masalah berbanding logik, fakta dan daya intelek,” katanya.

Osman Sapian

Kritikan sama pernah disuarakan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang berkata orang Melayu lebih menggunakan emosi berbanding logik dalam soal kaum dan agama.

Kini, kata Osman lagi, orang Melayu mempunyai dua pilihan – sama ada meneruskan naratif emosi sehingga “membakar diri” atau menyeru ke arah perubahan bersama.

“Jika kita mahu Malaysia kembali menjadi Harimau Asia, Melayu tidak boleh leka dengan segala hak dan keistimewaan,” katanya.


Baca‘Melayu mahu terus dikuasai emosi atau guna logik?’


Beliau bagaimanapun berkata hak dan keistimewaan orang Melayu turut menjadi antara punca sebahagian orang Melayu ketinggalan.

Beliau memetik buku The Colour of Inequality karya Muhammed Abdul Khalid yang menurut Sapian menyatakan “kenyataan pahit untuk ditelan”.

“Akar masalah yang menjadi teras perbahasan karya ini ialah ‘keadilan ekonomi’ yang belum tercapai dek kerana sikap sesetengah melayu sendiri yang menjadi duri dalam daging,” katanya, sambil menambah keadaan itu menyebabkan ada orang Melayu sendiri mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Antara kritikan terhadap DEB sekian lama adalah pelaksanaan dasar itu – terutama berkenaan ekonomi – hanya memberi manfaat kepada segelintir orang Melayu tertentu.

Makna sebenar hak bumiputera

Dalam pada itu, Osman menyuarakan keyakinannya orang Melayu pada zaman ini cukup bersedia untuk “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan kaum lain dalam pelbagai aspek.

“Melayu bumiputera zaman ini tidak boleh lagi berada dalam bayang-bayang sendiri sehingga kabur dan tenggelam dalam keselesaan yang diperolehi,” katanya lagi.

Beliau menggesa orang Melayu agar tidak “berada pada takuk lama serta jumud” dalam menafsirkan makna sebenar hak bumiputera.

“Sebagai Melayu berjiwa besar kita perlu menghormati dan berpegang tegus kepada keluhuran Perlembagaan demi menangkis anasir yang menyatakan kontrak sosial sebagai ketinggalan zaman.

“Mempertahankan Melayu dan hak bumiputera bukanlah sesuatu yang bersifat rasis. Konteks ini perlu diperhalusi oleh semua rakyat negara ini sama ada Melayu atau kaum lain,” katanya lagi.