PAN Ancaman Terhadap Bumiputera, Islam Dengan Bantuan DAP

666
SHAH ALAM 25 APRIL 2018. Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap pada Ceramah Perdana Jelajah Presiden PAS di Seksyen 18, Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Malaysia (PAN) disifatkan sebagai duri dalam daging yang berbahaya kerana mengamalkan sekularisme, menyerang dan mengancam Bumiputera-Islam dengan bantuan DAP.

Tindakan PAN dipercayai dendam lama kepada golongan konservatif dan ulama PAS yang ‘membengkak’ sudah sekian lama namun terpaksa berselindung di bawah usaha perjuangan meningkatkan syariat Islam.

Hakikatnya, golongan ini ketika ‘berada’ bersama PAS percaya parti itu perlu mendapatkan kuasa atau mandat untuk menang baru boleh membuat perubahan namun kumpulan konservatif / ulama berpendapat matlamat menguasai politik negara tidak boleh menghalalkan cara dengan bersekongkol.

Krisis pertembungan ideologi dan amalan antara dua puak dalam satu kapal itu ‘meletus’ selepas DAP mula campur tangan ketika berlaku pergolakan antara pemimpin kerajaan campuran Selangor pada 2014.

Ketika itu, golongan profesional PAS mula bersikap ‘keras kepala’ dan menunjukkan kecenderungan mereka untuk menyokong pihak yang didakwa boleh membantu merealisasikan hasrat dan cita-cita peribadi mereka.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengakui DAP cuba mempengaruhi PAS supaya selari dan menyokong kehendak parti cauvinis itu yang jelas tidak menyokong perlembagaan dan agama Islam.

Katanya, DAP secara terbuka menawarkan bantuan sokongan dan dana kepada mereka yang menyokong dasar serta perjuangan kepemimpinan DAP.

“DAP janji akan beri belanja berkempen kepada mereka (kumpulan progresif) yang menyokongnya untuk berjumpa (dapatkan sokongan) semua ahli PAS memilih mereka dan kuasai pucuk pimpinan.

“Hampir 18 ke 19 orang daripada mereka, yang orang PAS pun tahu mereka tidak dipilih, mereka inilah yang tubuhkan PAN,” katanya katanya ketika ditemui NSTP di kediamannya, di sini.

Bagaimanapun, Abdul Khalid mengakui tidak mempunyai bukti nyata yang boleh mengheret DAP mengakui ‘penajaannya’ kepada kumpulan progresif PAS.

Abdul Khalid turut mendedahkan ketika menjadi Pengarah Pilihan Raya Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, DAP membangkang ideologi PAS untuk meningkatkan kepentingan umat Islam melalui pemerkasaan pengurusan pentadbiran, kuasa undang-undang kehakiman berlandaskan Islam dan lebih kuasa di Mahkamah Syariah serta pelaksanaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah ( Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) menaikkan kemarahan DAP.

Katanya, perselisihan besar menyebabkan DAP menarik diri daripada PR dan membubarkan kerjasama.

“PAS beranggapan mereka tidak boleh abaikan Islam dan berkawan dengan sesiapa (parti) untuk menang pilihan raya. PAS merasakan mereka tidak jujur kepada rakyat hingga sanggup bersekongkol dengan DAP untuk kepentingan politik.

“Tetapi PAN (belas kumpulan progresif PAS) mereka setuju menggunakan atau digunakan orang bukan Islam demi untuk capai kemenangan.

“Orang PAS ‘they didnt forgive’ (mereka tidak memaafkan) kerana PAN tidak menunaikan janjinya, tidak menunaikan baiah mereka. Janji bukan kepada PAS tetapi Allah SWT dan mungkir janji adalah satu daripada perkara yang PAS tidak dapat terima.

“PAS merasakan PAN lebih menghalang cita-cita PAS (tingkatkan syiar Islam) daripada DAP kerana PAN ‘serupa’ mereka. Tetapi PAN bersengkokol dengan DAP untuk menghalang PAS,” katanya.

Abdul Khalid turut memberi contoh krisis kepemimpinan Islam berlaku di Turki dan Mesir iaitu kumpulan ulama akan menentukan hala tuju dakwah Islamiah yang mesti berlandaskan syariah Islam.

Ketika ditanya sokongan rakyat akar umbi Selangor, Abdul Khalid berkata, kajian fizikal mendedahkan sambutan rakyat kepada pakatan yang berselindung di bawah PKR tidak besar di Selangor.

“Rakyat Selangor menolak pakatan terutama PAN. Putar belit berita yang membuatkan mereka tampak lebih hebat daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS.

“Sedangkan PAS, parti konservatif yang daripada dulu tidak tertarik untuk berkelahi dalam media, sebaliknya fokus kepada usaha menegakkan syiar islam. PAS tidak kisah sama ada mendapat kuasa atau tidak pada pilihan raya tetapi mereka berhasrat meningkatkan sokongan rakyat kepada Islam,” katanya.