Parkir Kereta Di Petak OKU, Ini Jawapan Balas Menteri

288

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengakui gambar sebuah kereta yang diletakkan di tempat khas untuk orang kurang upaya dan tular di media sosial merupakan kenderaan miliknya.

Mujahid bersama bapa mertuanya.-Foto FB Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid menjelaskan, sewaktu kejadian kenderaan tersebut digunakan oleh anak-anaknya untuk membawa datuk mereka yang uzur dan mengguna kerusi roda untuk makan di sebuah restoran berdekatan dengan pakir tersebut.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, Mujahid mewakili anak-anaknya memohon maaf di atas kejadian tersebut.

“Untuk makluman semua, saya menjaga ayah mertua yang keuzuran dan berkerusi roda. Sewaktu kejadian ini, anak-anak saya membawa datuk mereka untuk makan di restoran.

“Mereka telah menggunakan kemudahan parking OKU kerana merasakan ia dapat memberi kemudahan kepada datuk mereka yang uzur. Saya mewakili anak-anak memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengucapkan terima kasih di atas teguran ini,” kata Mujahid.

Seorang pengguna semalam menyebarkan sekeping gambar sebuah kenderaan yang mempunyai lambang ‘Ahli Parlimen Malaysia’ diletakkan di tempat khas untuk golongan OKU.

“Depa kata kereta plat P## ###6 ini milik YB Menteri Agama. Tak tau pulak dia OKU,” tulis hantaran tesebut.