Pasang Jalur Gemilang Terbalik: Toyota PDC Auto Kuantan Buat Permohonan Maaf

1254

Sekeping foto menunjukkan bendera ‘Jalur Gemilang‘ yang dipasang secara terbalik di hadapan cawangan Toyota tular di laman sosial petang tadi. Foto tersebut berjaya dirakam oleh Zulfadli Maarof di hadapan Toyota PDC Auto Kuantan di Jalan Gambang, Kuantan dan telah menimbulkan kemarahan warganet, lebih-lebih lagi ia berlaku ketika negara dalam sambutan bulan kemerdekaan ketika ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi cawangan tersebut yang dimuat naik sebentar tadi, pihak mereka dengan rendah hati memohon maaf di atas kekhilafan yang telah berlaku berkaitan dengan pemasangan bendera Malaysia di premis perniagaan mereka.

Pihaknya juga ingin memaklumkan perkara tersebut tiada kena mengena dengan tidak menghormati Malaysia sebagai negara mereka. Kesalahan ini adalah tidak disengajakan dan ia tiada kena mengena dengan sebarang isu yang sedang hangat diperkatakan.

PDC Auto juga telah membuat pembetulan yang sepatutnya dan dengan rasa rendah diri warga kerja mereka sekali lagi memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakyat Pahang amnya di atas perkara yang berlaku ini.

Kami berharap isu ini telah selesai dan ingin mengingatkan kepada semua premis yang ingin memasang ‘Jalur Gemilang’ supaya lebih berhati-hati dengan membuat pemasangan yang betul sebelum ia dinaikkan dan dikibarkan.