Paul Yong Umum Bercuti Dari Jawatan Exco

631

Exco Perak Paul Yong yang berdepan tuduhan rogol hari ini mengumumkan bercuti daripada jawatan itu.

Keputusan itu bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini untuk meneruskan tugas itu, yang mengundang kritikan daripada beberapa pihak.

Dalam satu kenyataan, Yong berkata dia membuat keputusan itu untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan agar dapat membersihkan namanya.

“Selepas membuat pertimbangan secara berhati-hati, saya memutuskan untuk bercuti daripada tugas rasmi sebagai exco kerajaan Perak.

“Saya merasakan perlu meletakkan kepentingan negeri lebih utama berbanding kepentingan peribadi saya, seperti yang telah saya lakukan sepanjang kerjaya sebagai ahli politik.

“Saya akan sampaikan keputusan saya ini kepada Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu hari ini,” katanya.

Bagaimanapun Yong berkata beliau akan meneruskan khidmat sebagai adun Tronoh seperti biasa.

Pada 23 Ogos lalu, Yong yang juga bendahari DAP Perak mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.