Pemasangan Tanglung Di Sekolah Tidak Salah, Bukan Isu Perkauman – KPN

373

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berpendapat pemasangan tanglung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina adalah tidak salah dan bukan isu perkauman.

Sehubungan itu beliau sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawainya berhubung tindakan pihak yang menurunkan tanglung berkenaan dan membenarkan ia dipasang semula.

Beliau berkata pemasangan tanglung adalah satu konteks budaya yang dilakukan sejak dahulu lagi membabitkan masyarakat berbilang kaum dan bangsa yang ada di negara ini.

“Tindakan pihak yang menjadikan perkara ini sebagai sesuatu isu perkauman boleh dianggap sebagai cuba memecah-belah keamanan di negara ini.

“Sambutan Tahun Baharu Cina bukan bab agama dan ia sudah lama disambut seluruh rakyat. malah tradisi ini perlu diteruskan.

“Justeru pihak polis akan memanggil pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam selepas mendakwa tanglung yang dipasang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, dipasang secara berlebihan serta dikaitkan dengan usaha untuk menyebarkan agama lain kepada murid beragama Islam di sekolah itu,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Abdul Hamid berkata ‘tidak akan kurang sifat Melayu atau India apabila kaum bukan Cina meraikan sambutan Tahun Baharu Cina’ atas semangat muhibah.

Beliau berkata polis sentiasa memantau tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan rasa tidak puas hati dengan membangkitkan isu perkauman sehingga menyebabkan keselamatan dan ketenteraman awam terganggu.