Pembersihan Penjawat Awam : Kerajaan Tidak Seharusnya Menyekat “Kebebasan Demokrasi” – CUEPACS

471

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu khuatir dengan kesetiaan penjawat awam terhadap mereka, kata Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presiden Cuepacs, Azih Muda memberi jaminan penjawat awam setia dengan kerajaan PH dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela nasib golongan ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak seharusnya menyekat “kebebasan demokrasi” penjawat awam di negara ini untuk menyokong mana-mana parti politik.

“Kakitangan awam taat kepada kerajaan yang memerintah hari ini. Cuepacs berpendapat dakwaan kakitangan awam berpihak kepada kerajaan lama ataupun “kerajaan bayangan” adalah tidak benar.

“Perlu ada pemisahan antara pentadbiran dan demokrasi, negara kita yang menjunjung tinggi demokrasi dan pastinya penjawat awam mempunyai hak-haknya.

“Kerajaan dari dulu lagi tidak pernah ada paksaan, malah (penjawat awam) tidak pernah dipanggil untuk sokong kerajaan, sayap pekerja tidak ada sayap politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Pemuda Umno menggesa kerajaan menjelaskan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming mengenai langkah untuk meneruskan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam.

Menurut Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kenyataan Ong itu sepatutnya dibuat pemimpin tertinggi kerajaan dan bukan dilakukan secara ‘semberono’ dalam program wawancara televisyen.

Ong dalam wawancara Astro Awani pada 17 April lalu berkata, kerajaan masih perlu meneruskan proses pemutihan ke atas penjawat awam di beberapa kementerian.

Tindakan itu, kata Ong, adalah kerana terdapat ramai penjawat awam pada masa ini masih berpihak kepada kerajaan lalu.

Sementara itu, Azih berkata, kerajaan PH yang kini menguasai Putrajaya harus ingat bahawa mereka disokong oleh penjawat awam dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Tambahnya, beliau yakin kakitangan awam akan terus bersama kerajaan hari ini sekiranya kebajikan mereka dijaga dan diberi perhatian.

“Kalau kerajaan hari ini jaga mereka dengan baik, pastinya mereka akan terus bersama kerajaan.

“Kakitangan awam juga perlu meneruskan kehidupan dalam situasi sukar dengan kos sara hidup yang meningkat dan pastinya mereka mengharapkan bantuan kerajaan,” katanya.