Pemimpin PKR Mula Bertanya, Bila Tarikh Sebenar Tun M Akan Lepaskan Jawatan

540

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid meminta Dr Mahathir Mohamad supaya memberitahu dengan jelas bilakah beliau akan memberi laluan kepada Anwar Ibrahim untuk menggantikannya sebagai perdana menteri.

Sani yang mewakili PKR berkata, tidak memadai sekiranya Dr Mahathir terus berkata bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada presiden PKR itu tanpa “menyebut dengan jelas tempoh masanya”.

“Dengan menjadikan keperluan untuk mengukuhkan ekonomi sebagai alasan penangguhan (peralihan kuasa) adalah tidak rasional kerana ekonomi merupakan masalah yang berterusan,” katanya kepada FMT.

Beliau memberi respons terhadap kenyataan terbaru Dr Mahathir bahawa beliau akan menepati janji yang dibuat berhubung isu peralihan kuasa.

Bagaimanapun perdana menteri, yang bercakap di Tokyo, juga berkata, tidak ada tempoh masa khusus yang ditetapkan semasa janji itu dibuat sebelum pilihan raya umum tahun lepas.

Dr Mahathir berkata, beliau akan berundur selepas berjaya memulihkan keadaan ekonomi.

Pemimpin veteran Umno, Shahidan Kassim memberitahu FMT bahawa Dr Mahathir harus dibenarkan untuk menentukan masa persaraannya.

“Beliau kini berada di lautan yang bergelora” katanya. “Tak boleh tukar kapten semasa ribut.”

Penganalisis politik Awang Azman Pawi berkata, desakan supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan hendaklah dibuat hanya selepas beliau gagal menarik pelabur dari Amerika Syarikat dan negara Barat lain.

“Beliau seharusnya diberikan 6 bulan lagi,” katanya. “Jika keadaan tidak berubah, jika pelabur asing tidak mahu melabur, maka Dr Mahathir perlu memikirkan semula kedudukan beliau.”

Katanya, negara Barat yang sebelum ini menyokong Dr Mahathir berhubung pendirian anti-Chinanya, kini berasa kurang senang dengan dasar pro-China beliau sekarang.

Azman mengemukakan sokongan terbaru Dr Mahathir kepada syarikat teknologi China, Huawei, sebagai contoh.

Beliau berkata, Dr Mahathir sedang berusaha mengurangkan hutang negara, tetapi sesetengah pihak tidak senang dengannya kerana percaya mereka mendapat lebih banyak manfaat daripada kerajaan sebelum ini.

Katanya, Dr Mahathir harus menetapkan tempoh masa bilakah peralihan kuasa itu akan berlaku bagi memastikan ia berjalan lancar.

Azman berkata, Dr Mahathir perlu memikirkan kepentingan PKR kerana ia merupakan parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) dan anggotanya mungkin berasa tertipu berhubung perkembangan yang dialihat sebagai taktik untuk melengah-lengahkan.