Pemimpin Ugut OCPD Dibebas Selepas Beberapa Jam Ditahan Polis : Najib Sifatkan Kuasa DAP Memang Besar

433

Susulan pembebasan dengan jaminan seorang pemimpin DAP di Pahang yang didakwa menghantar satu pesanan whatsapp berbaur ugutan terhadap Ketua Polis Daerah Jerantut hari ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil menyifatkan kuasa DAP memang besar.

Najib menulis;

Sebut “ko bodoh” kepada Menteri PH, duduk lokap 3 malam.

Ugut ketua polis daerah secara bertulis dan cuba mempertahankan ahli DAP menjual rokok dan arak seludup, dibebaskan selepas beberapa jam.

Kuasa DAP memang besar.

Berdasarkan status di atas, Najib dilihat membandingkan siasatan yang dikenakan terhadap aktivis politik yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Azri bin Wan Deris yang direman selama tiga hari akibat memegang bahu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan kes ugutan yang dibuat pemimpin DAP Pahang terhadap Ketua Polis Daerah Jerantut itu.

Ketua polis Pahang Zakaria Ahmad mengesahkan pengerusi DAP Jerantut Loo Why Leong dibebaskan selepas kenyataan beliau dirakam.

Terdahulu polis Jerantut berkata, Loo ditahan kerana membuat ugutan jenayah dan telefon bimbitnya dirampas apabila beliau hadir ke balai polis untuk memberi kenyataan selepas Mazlan membuat laporan polis berhubung pesanan ugutan tersebut.

Imej pesanan itu tular di media sosial yang menyaksikan Loo didakwa berkata, “Sesiapa nak lawan PH, akan datang dia pun tak boleh aman”.

Pesanan itu dihantar kepada Mazlan.

Berdasarkan imej pesanan tersebut, pemimpin DAP itu marah kerana ditahan apabila beliau cuba menghalang polis daripada menahan setiausaha DAP daerah itu dalam satu siasatan berhubung penjualan rokok dan arak haram, serta rampasan barang terbabit.