Pencemaran Toksik Pasir Gudang : PDRM Minta Bantuan Interpol

288

KULAI: Polis Johor sudah meminta bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk menahan warga Singapura yang juga pemilik kilang tayar didakwa menyebabkan pencemaran gas kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, awal bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata penahanan lelaki suspek utama itu adalah penting bagi melengkapkan siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Kita sudah menghantar dokumentasi untuk mendapatkan suspek mengikut undang-undang daripada polis Singapura.

“Kita juga sudah menghantar permohonan kepada INTERPOL bagi membantu penahanan suspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kunjungan Muhibah Ketua Polis Johor ke Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Kem Kelapa Sawit, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Khalil turut menyampaikan sumbangan alat tulis kepada 100 murid sekolah berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Pada 25 Mac lalu, sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd, dan dua pengarah termasuk seorang warga Singapura, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru masing-masing atas 15 pertuduhan membabitkan kesalahan gagal mematuhi pemantauan udara bersih dan buangan terjadual di Sungai Kim Kim.

Sehari sebelum itu, dua pengarah terbabit dan seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan melupuskan bahan buangan tercemar secara haram di Sungai Kim Kim, 7 Mac lalu.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk, termasuk pelajar sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang terpaksa diarahkan tutup sementara.