Penduduk Mengadu Bacaan Ketika Solat Fardhu Yang Agak Kuat Di Masjid Mampu Beri Peluang Kepada Pencuri Untuk Pecah Masuk Rumah

254

Semalam, tular di media sosial sekeping surat dari sekumpulan penduduk Kampung Teluk Ipil, di Nibong Tebal yang memohon jasa dari pengurusan Masjid An-Nur untuk merendahkan tahap kelantangan pembesar suara di masjid berkenaan terutamanya pada waktu Subuh kerana terlalu kuat.

Melalui surat berkenaan, wakil kumpulan tersebut menulis;

Kepada Pengerusi / Iman / Bilal Masjid An Nur, Teluk Ipil.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1. Dengan segala hormat kepada bilal Masjid An Nur, kami terdiri daripada beberapa penduduk berhampiran dengan Masjid An Nur ingin memohon sedikit pertolongan dari pihak masjid untuk merendahkan laungan azan terutama azan subuh yang pertama pada pukul 5:15 pagi.

Mungkin bilal tidak merasai kelantangan azan dari luar masjid serta pembesar suara baru tetapi memang benar, ianya terlalu kuat. Kalau boleh contohi kelantangan azan yang selesa dari salah satu bilal yang merdu dan syahdu. Kami sangat kagumi dengan azan yang dilaungkan oleh bilal tersebut.

Kami berpendapat bahawa laungan azan bagi tahun-tahun yang lepas, sebelum tahun 2019 agak lebih selesa diperdengarkan dan jelas kedengaran bagi setiap solat fardhu berbanding tahun ini yang agak kuat.

InsyaAllah, laungan azan yang selesa diperdengarkan dapat menjadi hidayah kepada beberapa penduduk bukan Islam berdekatan di Taman Ipil Permai untuk mengenali Islam. Ini juga merupakan salah satu cara yang tidak langsung untuk berdakwak kepada mereka akan indahnya agama Islam.

2. Kami agak keliru kadang-kalanya apabila azan bagi solat Isyak kedengaran jauh dari masjid di sebelah sungai Kerian iaitu (i) Masjid Al-Fatah dan (ii) Masjid Tanjung Simpang Tiga Berembang sedangkan tidak bagi Masjid An Nur. Disebaliknya, ceramah dari ustaz kedengaran. Bolehkah azan solat Isyak tidak dilaungkan di masjid (rumah Allah)?

3. Akhir sekali, bacaan yang agak kuat dari pembesar suara ketika solat fardhu / Tarawih juga mampu memberi peluang kepada pencuri untuk memecah masuk ke rumah kerana penghuni rumah serta jiran tidak akan tersedar sekiranya rumahtelah dicerobohi atau dimasuki pencuri terutama pada waktu malam (contohnya, solat Isyak dan solat Tarawih). Mungkin jeritan pertolongan juga tidak dapat didengari. Ini juga yang kami bimbangkan demi keselamatan seluruh penduduk Teluk Ipil dan memohon kerjasama pihak Masjid An Nur untuk mengawal kelantangan pembesar suara. Wallahu a’lam.

Sekian, wassalam.

Penduduk-penduduk berhampiran