Pengangguran Belia : Di Zaman BN Salahkan Najib, Sekarang Zaman PH Tun M Sifatkan Sebagai Perkara Biasa Bagi Negara Membangun

460

Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah fenomena biasa dihadapi oleh negara membangun dan maju di dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana golongan ini dikatakan berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada realiti pasaran pekerjaan.

“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada pengangguran belia di Malaysia ialah ketidakcukupan kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran.

“Di samping itu, belia juga dituntut memantapkan jati diri dan sikap agar menepati ciri-ciri pekerja yang dicari oleh majikan iaitu yang komited, rajin, berdaya tahan, kerja berpasukan, berkeinginan untuk belajar, kebolehan bekerja di bawah tekanan dan bersikap proaktif,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di sesi Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran belia dan membantu golongan itu mendapatkan pekerjaan.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu belia mendapatkan pekerjaan.

Ini termasuklah menyediakan portal perkhidmatan pekerjaan JobsMalaysia; mewujudkan pusat sehenti menggabungkan agensi seperti JobsMalaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan mewujudkan program Graduates Enhancement Programme For Employability (GENERATE).

Usaha-usaha lain ialah memperkemaskan dan memperluaskan program perantisan dan latihan industri, melaksanakan program Structured Internship Programme (SIP) yang diterajui Talent Corp dan mengukuhkan dan memperkasakan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) melalui pelbagai program dan kerjasama bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri.

“Kesimpulannya, kerajaan dari semasa ke semasa akan menambah baik langkah-langkah sedia ada dan akan mewujudkan lebih banyak program atau mekanisme bagi membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran negara,” kata Dr Mahathir.

Sebelum ini, portal Selangorkini pada 19 Mei 2017 melaporkan Tun Mahathir pernah menyifatkan dasar “Najib” punca pengangguran tinggi.

https://selangorkini.my/2017/05/164664/