Ini Janji Najib Kepada Penjawat Awam Teraniaya

675

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sejak berkuasa mula menunjukan ‘warna sebenar’ mereka sesuka hati menurunkan gred pegawai berkelulusan ijazah ke pangkat jauh lebih rendah.

Malah kata Ahli Parlimen Pekan itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negara puluhan tahun bertindak sengaja menurunkan gred dari 41 kepada 19 (pegawai kepada pembantu tadbir) tanpa mempedulikan kewajaran keputusan tersebut.

“Sudahlah mereka (PH) tukar nama SPAD kepada APAD, apa yang lebih meruncingkan adalah apabila kedudukan para pegawai yang mempunyai ijazah pertama dan berada pada gred 41 ditukarkan kepada gred 19 yang lebih sesuai kepada yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini para pegawai ini d zalimi, dianiayai sebegini rupa. Ada dengan saya hari ini,  Mohd. Aizat Ibrahim yang bukan sahaja diturunkan gred sebaliknya juga turut ‘dihumbankan’ ke Sarawak dari Kuala Lumpur begitu sahaja.

“Saya tidak menidakkan sesiapa untuk ke Sarawak sebaliknya seseorang pegawai kerajaan itu diperlakukan oleh kepimpinan PH ketika ini yang zalim sekali. Ini adalah luar kelaziman.

“Seorang lagi, Sallehuddin Saad pekerja kontrak yang telah berkhidmat selama dua tahun juga telah ditukarkan gred dari 41 ke 19 pembantu tadbir. Ini tidak betul,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan kompleks mahkamah sejurus selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pegawai SPAD ini.

MGF22042019_NAJIB RAZAK MAHKAMAH DUTA_28
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama bekas eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Aizat Ibrahim di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 A

Sebelum itu, Mohd. Aizat yang juga bekas eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mendakwa jadi mangsa penganiayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluahkan hasrat mahu bertemu dengan Najib.

Beliau yang baru menimang cahaya mata pertama sebulan yang lalu mengakui kesilapan selama ini yang sering mengkriktik Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara terbuka di laman sosial selama ini.

Dalam pada itu, kata Najib beliau akan cuba turut bersama-sama berjuang bagi mendapatkan keadilan berikutan keadaan yang sedang menimpa penjawat awam khasnya SPAD.

“Saya tidaklah sehingga berarak dan tidur di atas jalan bagi memperjuangkan nasib golongan ini, cara saya menggunakan fakta. Saya akan bawa isu ini sehingga mendapat pembelaan sewajarnya,” tegasnya.

Najib juga secara terbuka dan senang hati menerima permohonan maaf oleh Mohd. Aizat kerana jelas beliau dirinya tidak pernah sesekali berdendam atau bertanggapan buruk kepada sesiapa.

“Hakikatnya kini mereka sendiri nampak kebenaran. Fakta timbul kebenaran, semua nampak pada masa ini,” ujarnya.