Penyatuan Ummah Untuk Selamatkan Pemimpin UMNO Terlibat Kes Mahkamah

615

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan perpaduan ummah yang didokong UMNO dan Pas bukan sahaja bersifat politik tetapi juga untuk menyelamatkan beberapa orang pemimpin utama UMNO yang terlibat dengan kes mahkamah.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, malah cadangan beberapa tokoh UMNO supaya Dewan Rakyat dibubarkan lebih awal turut menunjukkan bahawa parti itu semakin terdesak.

“Penyatuan ini jelas bertujuan untuk menyelamatkan kepimpinan mereka (UMNO) sendiri.

“Mereka memaksa Pakatan Harapan (PH) mengadakan pilihan raya umum (lebih awal) yang kononnya kalau mereka menang hasil penyatuan ummah itu bolehlah menyelamatkan Datuk Seri Najib (Razak), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid (Hamidi) dan beberapa pemimpin lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PH negeri di Ibu pejabat PH Kedah, di sini malam tadi.

Sementara itu, dalam konteks Kedah, Mukhriz berharap UMNO dapat bersedia untuk memberi laluan kepada Pas yang lebih dominan berikutan mempunyai bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melebihi parti tersebut.

“Sukar untuk dibayangkan bahawa Pas akan melepaskan banyak kerusi kepada UMNO sekiranya mereka bergabung dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak. UMNO sudah tahu perkara itu dan mereka perlu bersedia,” katanya.

Ketika ditanya Persidangan Muafakat Nasional peringkat Kedah Sabtu ini, ujar Mukhriz, kerajaan negeri tidak ada masalah dengan program tersebut dan membenarkan ia dilangsungkan tanpa sebarang gangguan.

“Kita benarkan mereka guna lokasi ‘high profile’ yang menunjukkan betapa mewahnya UMNO, malah Pas pun tak pernah rasa kemewahan UMNO…. Pertama kali merasa dewan hotel tentu seronok, seperti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

“Mungkin ada sebahagian rakyat khususnya orang Melayu yang terpengaruh dengan semangat penyatuan ummah kerana siapa tak mahu perpaduan ini tetapi kita kena faham niat di sebalik penyatuan ini iaitu politik,” katanya.