Pertambahan Kamera AWAS Penting Bagi Meningkatkan Kadar Pematuhan Had Laju – MIROS

88

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) — Pertambahan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) penting bagi meningkatkan kadar pematuhan had laju bagi lokasi yang kerap kemalangan serta dapat mengurangkan risiko berlakunya insiden itu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak berkata sesetengah lokasi tidak sesuai untuk ditempatkan anggota penguatkuasa, maka penggunaan teknologi seperti kamera AWAS dilihat tepat.

“Sememangnya terdapat pelbagai kaedah untuk menangani isu kemalangan jalan raya selain intervensi kejuruteraan, pendidikan dan persekitaran jalan raya. Bagaimanapun, pelaksanaan kamera AWAS yang berterusan sepanjang masa dapat meningkatkan ‘Perception of Being Caught’ seterusnya meningkatkan kadar pematuhan peraturan lalu lintas dalam kalangan pengguna.

“Penguatkuasaan sistem ini juga mengambil kira keberkesanan dan penanda aras terhadap pelaksanaan kaedah yang sama di negara-negara luar,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dua hari lepas (16 Mei), Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar dilaporkan berkata kerajaan akan menambah 11 kamera AWAS di seluruh negara membabitkan kos awal RM3 juta di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

Pemasangan kamera itu akan dilaksanakan di beberapa lokasi yang akan diputuskan selepas kajian dibuat bersama pelbagai pihak berkaitan termasuk PLUS Malaysia Berhad dan MIROS yang dijangka siap tahun ini.

Siti Zaharah berkata, melalui kajian keberkesanan sistem AWAS bagi tempoh lapan bulan pertama pelaksanaannya pada 23 Sept 2012, merekodkan pengurangan kes kemalangan maut sebanyak 12 kes di 14 lokasi kamera AWAS berbanding 19 kes bagi tempoh sama sebelum pelaksanaannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata penentuan lokasi pemasangan kamera itu adalah berdasarkan data kemalangan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia selain faktor kejuruteraan jalan lain seperti ruang bahu jalan yang mencukupi.

“Kamera AWAS akan dipasang di lokasi yang mempunyai rekod kemalangan dan kemalangan maut tinggi dalam tempoh empat tahun lepas dan setakat ini, 11 lokasi dikenalpasti namun masih dalam proses penilaian kesesuaian teknikal dan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menolak persepsi warganet bahawa penambahan kamera AWAS hanya untuk menambah pendapatan kerajaan sedangkan penguatkuasaan kamera AWAS dilihat sebagai efektif dalam meningkatkan tahap pematuhan had laju, kerana papan tanda amaran dipasang pada jarak 3 kilometer (km), 2km dan 1km sebelum pemasangan kamera AWAS ini.

“Selain itu, maklumat berkaitan lokasi kamera AWAS boleh juga diperoleh daripada portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ini menunjukkan kerajaan benar-benar ingin mendidik pengguna jalan raya bukan untuk menambah pendapat kerajaan,” tambahnya.

Beliau juga menggalakkan syarikat konsesi lain mengikuti langkah proaktif itu sebagai pendekatan dan inisiatif yang baik bagi membantu kerajaan menangani masalah kemalangan jalan raya.

— BERNAMA