PH Tumbang, Kerajaan Negeri Melaka Sah Bertukar Tangan

927

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi beliau peluang untuk memimpin negeri itu.

“Walaupun tempoh itu singkat, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dengan kudrat yang ada untuk menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan semua. Didoakan semua dirahmati Ilahi,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Bercakap kepada Malaysiakini, Exco Melaka Tey Kok Kiew mengesahkan Pakatan Harapan (PH) yang dimenerajui kerajaan negeri tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“(Bersatu) telah keluar daripada PH dan kami tidak mempunyai jumlah mencukupi,” kata pengerusi DAP Melaka itu.

Beliau berkata Adly masih belum bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob berikutan senario politik terkini selepas Bersatu keluar daripada PH.

“Dia (Yang di-Pertua) masih belum panggil (Adly). (Kami sedang menunggu) mereka yang menguasai majoriti untuk bertemu Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Sehingga kini, beliau berkata Adly belum secara rasmi digugurkan atau meletakkan jawatan tetapi berkata kerajaan negeri yang diterajui PH hampir tumbang.

PH pada asalnya memiliki 15 kerusi daripada 28 kerusi DUN.

Tay berkata pihak lawan menguasai 16 kerusi pada masa ini berbanding PH yang hanya mempunyai 12 kerusi DUN.

Seorang pembantu Adly juga mengesahkan bahawa PH tidak lagi mendapat majoriti mudah dalam DUN.