Pimpinan PAN Nasihatkan Ridhuan Tee Berhenti Kaitkan Islam Dengan Bangsa Melayu

420

Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (PAN) menasihatkan Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah agar berhenti mengaitkan Islam dengan bangsa Melayu.

Sambil menyifatkan pendakwah agama itu sebagai satu contoh hasil faham politik parti penunggang, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional PAN, Aiman Athirah Sabu berkata, Mohd Ridhuan Tee tidak patut menyamakan bangsa itu dengan agama.

“Saya perhatikan Ridhuan Tee sejak awal sehinggalah pelbagai titik perubahan, sikap dan pandangannya selepas berjaya jadi lebih Melayu, berbanding berjaya menjadi lebih Islam.

“Nasihat saya kepadanya, yang katanya mengulas dari perspektif Sains Politik. Memanglah politik itu benar, ia seni serba mungkin dan anda boleh mengulas isu politik dari segala sisi seni kemungkinan.

“Tetapi, Islam tidak seperti itu. Maka berhentilah mengaitkannya dengan Islam. Ia satu percubaan yang bukan sahaja jahat, tetapi salah, berbaur hasutan dan tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi status dalam akaun Facebooknya, semalam.

Sambil itu, beliau juga turut menyindir pendakwah agama itu dengan menyifatkan orang Cina yang tukar agama sebab lebih taksub dengan bangsa Melayu.

Katanya, beliau berkata begitu, sebab sejak sekian lama Ridhuan Tee tidak putus berbicara mengenai bangsa, lebih daripada bicaranya mengenai agama Islam.

Benar, tegas beliau, majoriti Melayu di Malaysia itu Islam, tetapi pendakwah itu tidak boleh terlalu simplistik menyamakan bangsa itu dengan agama.

“Itu wewenangan yang sama sekali membawa implikasi negatif seperti faham yang salah dan songsang, yang kesudahan akhirnya mencacatkan ketinggian serta keaslian wajah dan citra agama (Islam).

“Islam tidak pernah disinonimkan dengan bangsa dan keIslaman manusia tidak pernah diukur dengan bangsa, sama ada berdasarkan petunjuk dalam al-Quran, hadis mahupun dan sirah,” katanya.

Aiman Athirah menjelaskan, hanya UMNO yang melakukannya dan kini diikuti rapat oleh bekas seteru politiknya, Pas.

Mereka kata beliau, bertolong-tolongan membantu dalam kefasadan, iaitu kesan daripada mabuk kekalahan.

“Pada titik ini, memang ramai terkeliru kesan daripada polisi, sikap dan percubaan UMNO untuk menyinonimkan diri mereka sebagai Islam.

“Ini termasuk dalam usaha mereka mendepani pola politik Pas yang sekian lama juga cuba menyinonimkan “parti” itu sebagai agama,” katanya.