#PRKRantau: Streram Mungkin “Mabuk” Sekali Lagi Gurau Tok Mat

475

Dakwaan Parlimen Rembau tidak memilik hospital oleh calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, ditempelak oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Hasan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, Dr Streram perlu membuat kajian menyeluruh mengenai pembangunan di Rantau sebelum membuat apa-apa kenyataan yang boleh memakan diri sendiri.

“Sepatutnya dia kena tahu apa yang dia cakap. Selaku calon dan dia bukan calang-calang orang, doktor pulak kan.

“Takkan cakap macam orang yang tidak ada pengetahuan, cakap biar betul. Kalau nak tuduh biar yang betul.

“Itu sudah siap, pergilah tengok sendiri. Hospital itu sudah siap tetapi Kementerian Kesihatan tidak lagi melakukan operasinya kerana mereka nak gunakan peralatan yang baru,” katanya dalam majlis mesra bersama calon BN di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, semalam.

Tambah Mohamad, hospital berkenaan sudah siap namun masih belum beroperasi kerana belum mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.

“Kalau Dr Streram kata tidak ada hospital di Rembau, maknanya dia ‘mabuk’ lagi sekali.

“Itu hari dia kata balai bomba tidak ada. Bomba dulu nak letak kereta lama, tapi saya minta kereta bomba yang baru, jadi kena tunggu bajet tahun baharu,” katanya.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM8 juta berikutan kelewatan pembinaan Hospital Rembau, yang sepatutnya dijadualkan siap pada 8 September 2016.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital tersebut yang mula dibina pada September 2013 dengan kos asal RM96 juta, kini meningkat kepada RM104 juta.