Produk Keluaran Bumiputera Tidak Semestinya Secara Automatik Produk Halal – Timbalan Menteri

621

Produk keluaran Bumiputera tidak semestinya secara automatik menjadi produk halal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

“Apabila anda seorang peserta industri Bumiputera, produk anda tidak semestinya halal, bukan itu cara berfikir yang kami bawa. Apa yang kami perkatakan adalah prinsip Halalan Toyyiban.

“Sesetengah Bumiputera Melayu tidak mematuhi prinsip Halalan Toyyiban. Anda masuk ke dapur mereka, ia mungkin tidak bersih. Jadi kami (Jakim) perlu memastikan prinsip Halalan Toyyiban. Ia bertujuan mendidik masyarakat tentang aspek Halalan Toyyiban,” katanya pada sidang akhbar di Sidang Kemuncak Halal Global 2019 di sini hari ini.

Fuziah berkata usahawan Muslim yang mahu menjadi peserta industri dan pemimpin global perlu keluar daripada cara berfikir dengan mengambil mudah aspek Halalan Toyyiban.

Sementara itu, Fuziah berkata berdasarkan potensi ekonomi Islam global, terdapat banyak peserta industri di seluruh dunia yang berminat untuk menghasilkan produk halal untuk tujuan eksport.

“Sehubungan itu, peserta industri halal perlu mendapatkan pensijilan halal daripada badan pensijilan halal berwibawa bagi meyakinkan pelanggan di samping perlu memastikan logo atau sijil itu diterima oleh pihak berkuasa di negara pengimport.

“Setakat 13 Feb, Jakim mengiktiraf 78 Badan Pensijilan Halal Asing dari 45 buah negara dan jumlah ini dijangka semakin meningkat. Pada masa ini, kita ada lebih 40 badan halal antarabangsa untuk diiktiraf oleh Jakim,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata cadangan mewujudkan Akta Majlis Halal Malaysia, yang bertujuan menyelaraskan semua agensi halal di bawah Jakim bagi memastikan standard pensijilan halal berada di tahap terbaik, telahpun dirangka dan akan dibentangkan di Parlimen.

— BERNAMA