“Proton Bukan Kereta Nasional” Jadi Alasan Exco Pertahan Kewajaran Kerajaan Perak Beli Toyota Camry

506

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh sedikit gara-gara kenyataan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) bahawa Proton bukan lagi kereta nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi melontarkan kenyataan itu semasa menjawab soalan mengenai tindakan kerajaan negeri membeli kereta baharu jenama Toyota Camry bagi kegunaan Exco.

“Mengapa tak beli Proton? Proton bukan Malaysia punya, China punya. Taraf, status Proton bukan lagi kereta nasional, ia sudah dimiliki syarikat luar,” katanya semasa mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjawab soalan tambahan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) di sini hari ini.

Ahmad Saidi dalam soalan tambahannya bertanya mengapa kerajaan negeri tidak membeli kereta Proton dan Exco boleh memainkan peranan sebagai duta untuk kereta nasional.

Jawapan Asmuni (Amanah-Manjoi) itu mencetuskan rasa tidak puas dalam kalangan beberapa ADUN pembangkang termasuk Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengakalan Baharu) yang mempertikaikan aspek pemilikan saham dalam Proton dan mendakwa Exco berkenaan menyeleweng fakta. – Bernama