Sebelum Ini Kita Harmonis, Rais Yatim Sokong “Pulangkan” Zakir Naik Kepada India

638

Bekas menteri Rais Yatim menyokong gesaan agar pendakwa Islam tersohor, Dr Zakir Naik untuk dihantar pulang semula ke India.

Rais berkata, ini selepas Zakir, seorang warganegara India, mencetuskan kontroversi di negara ini.

“Sebelum Zakir Naik menetap di sini kita harmonis. Kini kaum Hindu pula dikacaunya dgn komen-komen memperkecilkan mereka.

“Zakir sedang berperanan bahaya batu api. Amat baik dia dipulangkan saja ke India,” katanya dalam satu hantaran di Twitter.

“Kerana dia, hubungan Malaysia-India juga muram. Kita ada banyak kerja lain lagi,” katanya.

Zakir, dalam ucapannya minggu lalu, dilaporkan berkata, penganut Hindu di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India Naderan Modi daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Penceramah kontroversi itu walau bagaimanapun hari ini mendakwa ucapannya berhubung penganut Hindu di negara ini diambil di luar konteks.

Mengenai isu pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil yang telah menjadi isu perkauman.khat, Rais menggesa para pemimpin DAP supaya “mencuci kepala” pemimpin badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong yang mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Tahun 4 bahasa Melayu adalah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.

“Kelantangan Dong Zong dn rakan-rakannya disebabkan mereka tahu semua pagar untuk bersifat silu segan dah tak ada.

“Orang Melayu pula dah dalam keadaan simpang-perenang dalam perpecahan politik. Kerja mencuci kepala mereka mesti dibuat kini oleh (pemimpin veteran DAP Lim) Kit Siang dan rakan-rakannya,” katanya.

Ini di sebalik pengumuman Kementerian Pendidikan pada 8 Ogos lalu bahawa pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil akan dilaksanakan secara pilihan, dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran.

Keadaan semakin kusut susulan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, pada Isnin lalu yang melabelkan Dong Zong sebagai “rasis”.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudian mengeluarkan kenytaan bahawa parti itu tidak bersetuju dengan dakwaan Dong Zong adalah rasis dan mempertahankan hak gabungan itu untuk menyatakan pandangannya.