Rakyat Hanya Perlu Tanggung ‘Beberapa Sen’ Kenaikan Tarif Untuk Kualiti Air Lebih Baik – Menteri

308

Kenaikan tarif air sebanyak “beberapa sen” perlu untuk meningkatkan perkhidmatan air di negara ini, tegas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar.

Xavier berkata tarif air di negara ini tidak berubah “lebih 20 tahun” meskipun kos kerja meningkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata pemulihan infrastruktur untuk mengurangkan pembaziran hanya satu peratus air terawat boleh menelan belanja sehingga RM1 bilion.

“Orang ramai terus mengeluh tentang kualiti air, mengenai gangguan bekalan air.

“Tetapi untuk mengurangkan satu peratus daripada (pembaziran air terawat) akan menelan kos antara RM800 juta dan RM1 bilion. Siapa yang akan bayar untuk itu?

“Itulah sebabnya kita perlu bayar utiliti. Adalah tanggungjawab orang ramai untuk memastikan (kerja utiliti) dilakukan dengan betul. Kemudian (apabila mereka bayar) mereka boleh mempersoalkan kita jika kita tidak melakukannya dengan betul,” kata Xavier di Rantau hari ini.

Xavier berkata demikian ketika ditanya mengenai kenaikan tarif air kepada orang ramai.

Beliau berkata, kenaikan tarif juga membolehkan kerajaan memperuntukkan perbelanjaan untuk kerja-kerja bagi mengurangkan banjir, menangani kemarau dan memastikan keselamatan air terawat.

Beliau berkata dengan kenaikan berkenaan, syarikat konsesi air juga perlu meningkatkan perkhidmatan mereka dan membuktikan kepada orang ramai bahawa mereka “bersih” dan cekap.

Beliau menegaskan bahawa kenaikan kepada pengguna hanya melibatkan ‘beberapa sen’.

Sebelum ini tarif air ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Xavier berkata beliau berhasrat mengadakan ceramah menjelang akhir tahun ini dan berkata terpulang kepada negeri masing-masing untuk menentukan kenaikan tarif air.

Menteri berkenaan bercakap pada sidang akhbar selepas melawat kerja-kerja fasa keempat penebatan banjir di Sungai Linggi.

Fasa empat projek itu yang bernilai RM70 juta telah diluluskan tahun lepas dan kerja-kerja telah dimulakan sejak 13 April 2018.