“Rameli Musa Memang Sahabat Saya”, Kata Anwar Ibrahim

314

Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengesahkan bahawa pengerusi KTMB yang didakwa telah membayar editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown wang sebanyak RM1.4 juta bagi pihak presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah sahabatnya.

Menjawab soalan Awang Hashim (PAS-Pendang), Anwar berkata beliau tidak mempunyai masalah menjelaskan perkara sebenar.

“Walaupun tak ada kaitan saya akan layan, tak ada masalah. Rameli Musa memang sahabat saya.

“Dan (dia) kemudian memilih untuk menyokong PAS, terutamanya presiden PAS yang sekarang,” katanya.

Awang meminta Anwar mengesahkan sama ada Rameli, yang dinamakan sebagai perantara antara Clare dan Hadi, adalah kawannya.

“Kalau diminta beri penjelasan saya bagi sebab saya tak mau gunakan peluang ini untuk bertegang leher dengan PAS.

“Saya tak nafikan siapa sahabat, orang PAS sekarang pun ramai sahabat saya, tak ada masalah,” kata presiden PKR itu.

Hubungan Rameli dengan Anwar menjadi tumpuan selepas pengerusi KTMB itu dikatakan telah membayar RM1.4 juta kepada Clare sebagai sebahagian daripada penyelesaian kes saman fitnah Hadi terhadapnya.

Editor Sarawak Report itu tidak menamakan Rameli apabila mula-mula mendedahkan seorang perantara yang bertindak bagi pihak Hadi. Identiti beliau kemudian didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang cuba menyangkal dakwaan PAS bahawa akaun yang digunakan untuk membayar wang penyelesaian saman fitnah adalah palsu.

Rameli telah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan mengenai perkara itu pada awal bulan ini dan juga menyerahkan dokumen kepada pihak bekuasa.

Hadi menafikan sama ada dirinya atau PAS telah melunaskan bayaran kepada Clare.