Roboh Rehal DBP : Dikatakan Sudah Tidak Kukuh, Kenapa Tidak Disertakan Bukti?

629

Dari facebook Dr Kamarul Zaman Yusof;

10 SEBAB MENGAPA PEROBOHAN STRUKTUR REHAL DBP JADI VIRAL

1. Pihak yang menjadikan perobohan struktur rehal DBP sebagai isu adalah pihak-pihak yang dikira berwibawa seperti Ku Seman Ku Hussain selaku bekas wartawan Utusan Malaysia dan Dr Ibrahim Ghaffar dari Persatuan Penulis Nasional.

2. Rehal adalah simbol Islam di mana ia ditakrifkan oleh Kamus DBP sebagai “tempat meletakkan Qur’an ketika membacanya” menyebabkan kerja merobohnya dianggap mempunyai ciri-ciri Islamofobia oleh “pihak yang fobia dengan Islam”.

3. Pemakluman perobohan struktur rehal oleh DBP pada 11 Julai 2019 sekadar menyatakan kerja perobohan telah diluluskan oleh Lembaga Pengelola DBP dan akan dibuat dari 12 Julai 2019 sehingga 17 November 2019.

4. Kenyataan media Bahagian Komunikasi Korporat DBP semalam sekadar menyatakan kerja merobohnya dibuat setelah mendapat nasihat daripada pakar JKR yang mengesahkan bahawa ia tidak lagi berada dalam keadaan yang selamat.

5. Kenyataan Facebook Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, bahawa pihak JKR mendapati bahawa struktur rehal itu “sudah tidak kukuh lagi disebabkan hakisan dan karatan yang teruk” dibuat lewat.

6. Hujah bahawa struktur rehal itu “sudah tidak kukuh lagi disebabkan hakisan dan karatan yang teruk” sukar diterima kerana tidak disertakan bukti kukuh dengan gambaran mata kasar menunjukkan struktur rehal itu masih kelihatan baru.

7. Hujah bahawa struktur rehal itu “sudah tidak kukuh lagi disebabkan hakisan dan karatan yang teruk” boleh ditepis dengan menanyakan kembali soalan “kenapa tidak baiki” di mana “kos (membaikinya) lebih kecil dari merobohkan semuanya”.

8. Sentimen keagamaan senang dimainkan bila arahan merobohnya dibuat oleh JKR yang berada di bawah kawalan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, yang beragama Kristian, yang ditanya mengenainya oleh Dr Ibrahim Ghaffar semalam.

9. Perasaan curiga juga timbul bila ia dikaitkan dengan kenyataan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang, pada 15 Januari 2019 dengan tajuk “DBP bukan untuk Melayu sahaja” bahawa DBP akan dijadikan inklusif kepada semua kaum.

10. Mungkin juga ini adalah serangan ke atas IKRAM kerana Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, merupakan pengasas dan pencipta lagu IKRAM dan bekas Timbalan Presiden IKRAM yang pertama.