Rogol Amah : DAP Lapor Polis, Dakwa Punyai Maklumat Wujud Unsur Sogok dan Ugut

505

IPOH : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, mendakwa beliau mempunyai maklumat baharu berkaitan kes EXCO Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong, yang didakwa merogol pembantu rumahnya.

Beliau mendakwa, individu yang membawa pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu disogok sebanyak RM100,000 untuk membawa wanita berkenaan ke balai polis selain diugut dengan pistol.

“Saya menerima maklumat baharu mengenai kejadian itu pada jam 6 petang menerusi panggilan telefon daripada seorang lelaki sebelum mengadakan pertemuan dengan lelaki berkenaan di sebuah hotel di sini.

“Lelaki berkenaan memaklumkan individu yang membawa pembantu rumah yang dituduh dirogol oleh Choo Kiong disogok dengan wang sebanyak RM100,000 serta diugut dengan sepucuk pistol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 10.15 malam tadi.

Untuk itu, Koo Ham meminta polis menyiasat maklumat terbabit bagi membuktikan kebenaran di sebalik kejadian itu.

“Saya tidak mahu mendedahkan butiran lanjut mengenai saksi itu dan menyerahkan segala maklumat kepada polis untuk siasatan lanjut supaya kita tahu agenda tersembunyi di sebalik kejadian ini.

Choo Kiong dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pagi esok atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Menerusi laporan media hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dalam satu kenyataan mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu akan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.