Sajat Dihadap Ke Mahkamah Miliki 19 Produk Kecantikan Tidak Berdaftar Dengan KKM

117

JOHOR BAHRU 12 Mei – Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Nur Sajat, 34, yang melakukan perbuatan itu di sebuah kedai yang menjalankan perniagaannya di Bandar Baru Uda, di sini, tahun lalu mengaku tidak bersalah.

Terdahulu, Nur Sajat yang berbaju kebaya merah hadir di mahkamah kira-kira pukul 10.20 pagi ditemani rakannya sebelum mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd. Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, sepasukan anggota dan pegawai unit farmasi KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda pukul 12 tengah hari, 15 Ogos 2018 sebelum merampas 19 jenis produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.

Ketika pemeriksaan dilakukan, pemiliknya Nur Sajat tiada di premis berkenaan.

Antara produk yang dirampas termasuk pemutih kulit dan produk kecantikan lain.

Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peratutan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984.

Usahawan itu didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Pegawai pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Johor memohon mahkamah menetapkan RM8,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh yang serius.

Bagaimanapun, Nur Sajat menerusi peguam belanya, memohon wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan alasan anak guamnya tidak pernah ingkar arahan mahkamah.

Bagaimanapun, Norasidah menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan dan seorang penjamin serta 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Nur Sajat bagaimanapun hanya menjelaskan wang jaminan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi selepas menunggu rakannya mengeluarkan wang.

Selain itu, usahawan berkenaan dilihat cuba mengelak wartawan dan jurugambar dengan menggunakan laluan lain untuk ke kaunter bayaran. – UTUSAN ONLINE