Salah Guna Kuasa: Jika Mahu Siasat Saya, Siasat Juga Muhyiddin

1871

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga disiasat atas tuduhan salah guna kuasa dalam isu penjualan aset negara dan Tabung Haji serta peningkatan hutang kerajaan.

Tegasnya, Perdana Menteri baharu itu juga berada dalam Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika keputusan-keputusan tersebut dibuat.

Tambahan pula menurut Guan Eng, penjualan aset negara bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, sekali gus menafikan berperanan dalam sebarang keputusan Khazanah Nasional Bhd. untuk menjual aset-aset mereka.

“Saya bukan ahli lembaga Khazanah malah Petronas juga tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Sebarang peningkatan hutang langsung kerajaan mestilah diluluskan oleh Kabinet.

“Jika saya perlu disiasat, maka Muhyiddin juga perlu disiasat memandangkan beliau juga merupakan ahli kepada Kabinet sama yang meluluskan peningkatan hutang langsung kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Setiausaha Agung DAP itu lagi, kerajaan Pakatan Harapan ketika itu terpaksa meningkatkan hutang langsung kerajaan bagi meneruskan projek infrastruktur yang telah dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional.

PH juga jelasnya, tidak mahu meneruskan perbuatan salah kerajaan BN yang menyorokkan sesetengah hutang melalui pembayaran luar penyata imbang.

“Perbuatan Datuk Seri Mohamad Hasan yang meneruskan penipuan UMNO tentang kononnya saya bertanggungjawab terhadap bencana kewangan Tabung Haji ini hanyalah satu cubaan untuk meningkatkan sentimen perkauman.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa telah mengesahkan yang beliau bertanggungjawab terhadap Tabung Haji, dan saya tidak menghadiri sebarang mesyuarat atau pun membuat sebarang keputusan yang berkenaan dengan Tabung Haji.

“Satu-satu peranan yang saya jalankan adalah dengan menyokong keputusan menyuntik hampir RM20 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan bagi menyelamatkan Tabung Haji. Namun begitu, saya masih dituduh sebagai punca kepada segala kerosakan Tabung Haji,” luahnya.

Menurut Guan Eng, tindakan Timbalan Presiden UMNO yang menyalahkan beliau dalam isu-isu tersebut menunjukkan parti berkenaan dan Perikatan Nasional hanya mahu memecah-belahkan negara menggunakan sentimen perkauman dan agama.

“Jelas sekali tidak seperti Perikatan Nasional, Pakatan Harapan adalah satu-satunya gabungan memerintah yang cuba untuk mewakili dan bekerja untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang, mahupun geografi,” katanya.

Beberapa hari lalu, Mohamad berkata, kerajaan Perikatan Nasional akan menyiasat pengurusan Kementerian Kewangan ketika di bawah teraju Guan Eng.

Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Guan Eng telah menjual aset negara dan menambah RM140 bilion ke dalam hutang negara sepanjang 21 tahun menggalas jawatan tersebut.- MalaysiaGazette