Sampah Tidak Dikutip, Penduduk Taman Ria Gelisah

592

KEGAGALAN kontraktor melakukan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan perumahan Taman Ria, Padang Serai Kedah mengikut jadual menimbulkan kesulitan kepada penduduk.

Penduduk mendakwa terdapat beberapa longgokan sampah terutama sisa pepejal sehingga hampir seminggu tidak dikutip.

Keadaan itu telah mencemarkan imej persekitaran dan mengundang kehadiran lalat dan anjing liar.

Sehubungan itu, penduduk Taman Ria, Padang Serai Kedah di sini merayu kepada badan pengurusan bersama dan pihak Environment Idaman Sdn. Bhd. mengambil tindakan mengutip longgokan sampah yang terbiar sejak seminggu lalu.




Wakil penduduk, Mohd. Hashim Abdullah, 62, berkata, mereka bukan saja terpaksa menahan bau busuk setiap hari, malah pakaian yang dijemur turut dihinggapi lalat selain terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah bagi menghalang lalat daripada masuk.

“Lebih membimbangkan, selepas hujan lebat banyak takungan air berlaku di kawasan longgokan sampah yang berbau busuk dan pembiakan nyamuk aedes boleh berlaku seterusnya mengancam kesihatan penduduk setempat,” katanya di sini petang tadi.