Satu Tahun Malaysia Baru : Kerajaan PH Lebih Baik Berbanding Kerajaan BN Yang Terlibat Rasuah dan Mencuri Dari Rakyat – Chef Wan

1259

SHAH ALAM – Chef terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan membidas segelintir pihak yang mahu memakai baju hitam sebagai protes terhadap kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas setahun mentadbir negara.

Jelas beliau, walaupun Kerajaan PH tidak sempurna untuk memulihkan semula ekonomi negara dengan pantas namun mereka lebih baik berbanding zaman pemerintahan terdahulu yang terlibat rasuah dan mencuri daripada rakyat sehingga memalukan bangsa Melayu, Islam dan negara.

“Cukuplah! Sekarang masa untuk kita semua bersatu sebagai Malaysia baru, bina semula negara kita dan tebus maruah diri kita! Depa (mereka) nak pakai baju hitam ke nak telanjang bogel pun kita peduli apa?” soalnya menerusi akaun Instagram beliau di sini hari ini.

Menerusi hantaran tersebut, Chef Wan turut memuat naik sekeping gambar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan tulisan ‘Beliau tidak sempurna tetapi beliau edisi terhad beliau adalah Tun Mahathir’.

Sementara itu, Chef Wan meminta masyarakat tidak mempedulikan golongan yang melakukan protes kerana suatu hari nanti mereka akan dihukum dan mendapat balasan yang setimpal di akhirat.

“Satu perkara yang pasti ialah kita berjaya memastikan mereka hilang kuasa pada penggal ini dan kini mereka menyalak seperti anjing siang dan malam. Biarlah.

“Kita yang sayangkan negara, seperti yang saya buat dengan sepenuh hati untuk melawan mereka dan bekerja dengan kuat serta membina semula ekonomi negara!” tegas beliau.