“Saya Rasa SPV Prokhas Itu Di Bawah Mujahid, Biar Beliau Yang Jawab…” Jawab Lim Guan Eng

546

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menegaskan urustadbir Ahli Lembaga Pengarah Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah di bawah kelolaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, syarikat tujuan khas (SPV) yang memegang sejumlah aset Lembaga Tabung Haji bukannya di bawah portfolio Kementerian Kewangan.

“Saya rasa (SPV Prokhas) itu bawah Datuk Dr Mujahid (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) biar beliau yang jawab…,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Mujahid sebelum ini memberitahu kepada Dewan Rakyat bahawa Ahli Lembaga Pengarah UJSB yang telah dilantik adalah terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Kewangan.

Beliau menegaskan kesemua mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang kewangan dan yang berkaitan.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar sebelum itu juga enggan mengumumkan nama individu yang menerajui SPV .

Ia ekoran soalan tambahan Awang Hashim (Pendang – PAS) yang mendesak beliau mendedahkan nama individu berkenaan.

Tarik balik

Mujahid juga kelihatan emosi apabila mengeluarkan perkataan ‘tahi’ hingga menyebabkan ramai penyokong pembangkang bangun untuk meminta beliau menarik balik perkataan yang dianggap menghina dewan yang mulia.

“Mereka kata macam-macam sedang kita ini hendak buat, selamat daripada orang dulu yang buat tahi,” katanya dalam nada tegas.

Perkataan ‘tahi’ ditujukan kepada kerajaan dan pengurusan TH dahulu yang didakwa telah menyebabkan institusi tersebut mengalami defisit RM4.1 bilion.

Mujahid yang akur dengan desakan supaya menarik balik perkataan tersebut bagaimanapun menggantikan perkataan ‘tahi’ dengan ‘onar’.

Pergerakan Pemuda UMNO dalam kenyataannya kelmarin terkilan kerana jawapan Mujahid itu menunjukkan  aset-aset Tabung Haji bernilai RM19.9 Billion telah dijual dan dipindahkankepada sebuah SPV (Urusharta Jamaah Sdn Bhd) yang hakikatnya diurus sepenuhnya oleh Prokhas Sdn Bhd yang mana CEOnya adalah Chen Yin Heng. – MalaysiaGazette