“Sekiranya Perjanjian Antarabangsa Ini Bagus dan Efektif, Mengapa Kekejaman Terhadap Rakyat Palestin Terus Berlaku?,” Soal TMJ

429

Sehari selepas Malaysia mengumumkan penarikan diri daripada meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus mempersoalkan kewajaran memeterai perjanjian antarabangsa.

Dalam akaun Twitter rasmi miliknya, Tunku Ismail membangkitkan persoalan berhubung perjanjian antarabangsa yang ditandatangani negara-negara seluruh dunia dengan kekejaman berterusan yang terpaksa dihadapi rakyat Palestin.

“Sekiranya semua perjanjian antarabangsa ini benar-benar bagus dan efektif, mengapa kita masih melihat kekejaman dilakukan terhadap rakyat Palestin sejak beberapa dekad lalu?,” katanya hari ini.

Tunku Ismail sebelum ini lantang mempersoalkan kewajaran penyertaan Malaysia dalam Statut Rom yang dikhuatiri boleh menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi di negara ini.

Tambahnya, kerajaan Pusat telah melakukan perkara yang tidak berperlembagaan berhubung isu ratifikasi Statut Rom di mana instrumen itu ditandatangani tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. –

Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia dalam statut berkenaan.

Namun begitu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbarnya semalam mengumumkan Malaysia memutuskan menarik diri daripada Statut Rom setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja.