Selepas Kontrak Ditamatkan Kerajaan PH, LBU Kini Terima Pengiktirafan Dunia

392

Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) yang secara rasminya telah diberikan surat penamatan selaku rakan pelaksana projek (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak pada September lalu oleh Kerajaan Pakatan Harapan telah menempa sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara di “The Year in Infrastructure Awards” untuk kategori ‘Prestasi Jalan Raya dan Keretapi’ semalam.

Terbaik di dunia, terpinggir di Malaysia.

Sejajar dengan pengiktirafan yang baru diterima syarikat itu di peringkat dunia, keputusan menamatkan kontrak mereka selaku rakan pelaksana projek (PDP) yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan wajar untuk dipertikaikan.

Jika prestasi LBU tidak bermasalah sehingga menerima pengiktirafan diperingkat dunia, apa rasionalnya kontrak mereka ditamatkan?

Persoalan tersebut turut dibangkitkan oleh mantan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusoff di Parlimen semalam. Berita Harian melaporkan;

JIKA Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) tidak bermasalah, mengapa perlu menukar mereka dengan rakan penyampai projek (PDP) yang lain?

Itu soalan dilontarkan bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berhubung cadangan kerajaan untuk melantik PDP baharu bagi meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.

Menurut Fadillah, LBU yang dilantik kerajaan terdahulu berjaya melaksanakan tanggungjawab membina projek mega bernilai RM16.48 bilion itu mengikut jadual dengan purata kerja 10 kontraktor kini mencapai 50 peratus.

Malah pakej pertama projek berkenaan iaitu jajaran Sematan ke Telok Melano sepanjang 32.77 kilometer (km) sudah berjaya disiapkan dan dilalui pengguna kenderaan secara rasmi sejak 26 Januari lalu.

Justeru persoalan timbul, apakah rasionalnya di sebalik keputusan untuk menukar PDP ketika projek pembinaan lebuh raya itu berjalan dengan lancar sejak dimulakan pada 2015. Jika kerajaan tetap dengan keputusan untuk menamatkan khidmat LBU dilantik kerajaan terdahulu empat tahun lalu, banyak kerja baharu perlu dilakukan oleh penggantinya nanti.

PDP baharu dijangka memerlukan masa antara sebulan hingga dua bulan untuk membiasakan diri dengan projek berkenaan. Mereka perlu meneliti keseluruhan projek membabitkan terma kontrak, dokumentasi serta reka bentuk jalan.

Selain itu, pertukaran PDP ketika projek sedang rancak dilaksanakan juga pasti akan membabitkan peningkatan kos.

Tak perjelas tukar PDP

Justeru, rakyat Sarawak ingin tahu apa sebenarnya justifikasi pengambilalihan PDP yang sudah ditandatangani bersama kerajaan terdahulu.

Malah, LBU sebagai PDP yang diberi kepercayaan sejak projek itu bermula, sudah menandatangani perjanjian dengan kontraktor pelaksana projek dan ini bermakna banyak proses baharu perlu dilakukan ketika projek itu sedang berjalan lancar.

Awal bulan ini, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, memaklumkan Kabinet akan mengumumkan keputusan mengenai pelantikan PDP baharu dalam masa terdekat. Bagaimanapun, beliau tidak menjelas lanjut apakah alasan di sebalik keputusan menukar PDP ketika projek yang diharapkan seluruh rakyat Sarawak itu semakin hampir menjadi kenyataan.

Ada beranggapan, keputusan untuk menukar PDP bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak itu mungkin ada kaitan dengan penamatan kontrak PDP bagi projek sama di Sabah pada April lalu. Urusan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah kini diserahkan kepada kerajaan negeri dan ia dilakukan untuk memastikan proses pelaksanaan projek yang lebih lancar dan penjimatan kos.

PDP di Sabah ditamatkan kontrak kerana umum mengetahui, mereka terbukti gagal melaksanakan projek berkenaan dengan teratur, namun berbeza keadaannya di Sarawak. Projek di Sarawak terutamanya di laluan sepanjang lebih 700 km dari Telok Melano ke Miri kini sudah mula kelihatan bentuk lebuh raya yang diimpikan rakyat Sarawak sejak sekian lama.

Walau apapun, rakyat Sarawak harus bersabar menunggu keputusan yang bakal diumumkan kerajaan berhubung masa depan projek berkenaan. Baru Bian sudah memberi jaminan, Kerajaan Persekutuan akan membuat pengumuman rasmi mengenai PDP projek itu dalam masa terdekat.

Ramai rakyat Sarawak mengharapkan projek pembinaan lebuh raya itu berjalan tanpa sebarang gangguan selepas berlaku pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018.

Puas hati tahap projek

Malah Baru Bian ketika meninjau projek itu di Miri, Mac lalu, berpuas hati dengan tahap kemajuan projek dan yakin tidak menghadapi masalah untuk disiapkan mengikut jadual pada Jun 2021.

Sehubungan itu, rakyat mengharapkan keputusan bijak diambil untuk memastikan projek itu berjaya disiapkan mengikut jadual.

Ketika Baru Bian diumumkan sebagai Menteri Kerja Raya, majoriti rakyat Sarawak lega, kerana anak Sarawak terus diberi kepercayaan menerajui kementerian yang bertanggungjawab terhadap projek lebuh raya itu selepas dimulakan oleh Fadillah.

Harapan rakyat Sarawak kini sepenuhnya disandarkan kepada Baru Bian untuk menentukan projek yang dekat di hati rakyat itu disiapkan dalam masa ditetapkan, walaupun PDP baharu akan menggalas tanggungjawab meneruskan pembinaannya nanti. - Berita Harian

Sebelum secara rasmi ditamatkan kontrak oleh kerajaan PH pada September lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga pernah menegur dan meminta cadangan penamatan tersebut dikaji sedalamnya sebelum diputuskan.

Utusan Borneo menulis;

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan persekutuan mesti melihat bebarapa sudut sebelum membatalkan model rakan pelaksana projek (PDP) lebuh raya di Sarawak.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kerajaan persekutuan menentukan kaedah yang akan diguna pakai bagi menerus dan menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan persekutuan mesti melihat daripada beberapa sudut kerana pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo sudah siap hampir 70 peratus.

"Sebenarnya, mereka (Kementerian Kerja Raya) ada menghubungi kerajaan negeri memaklumkan penstrukturan semula pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

"Biarlah mereka melihat bagaimana hendak meneruskannya sama ada melalui PDP ataupun cara yang lain. Jadi kita tengoklah bagaimana nanti," katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyaan Baru Sabtu lepas, iaitu keputusan pembatalan model PDP bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Menurut Baru, setakat ini, hanya model PDP bagi lebuh raya itu di Sabah telah dibatalkan dan diganti dengan model kontraktor siap guna.

Sementara itu Fadillah yang merupakan mantan Menteri Kerja Raya berpendapat kerajaan persekutuan harus melihat keseluruhan konteks jika mahu mewujudkan PDP baharu.

Pertama menurutnya, kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya perlu memahami dari segi reka bentuk dan kajian keseluruhan dibuat PDP terdahulu.

Kedua katanya, jika PDP sedia ada hendak diganti, pengantinya mestilah lebih baik dan tidak merugikan kerajaan serta tidak memberi kesan kepada pelaksanaan projek.

"Apabila kita berkata mengenai pelaksanaan projek, ada beberapa perkara perlu dilihat iaitu pemantauan, kualiti projek, sudut keselamatan dan kesihatan dalam perjalanan projek dari serti persekitaran dan sebagainya.

"Kalau mana-mana pihak baharu ingin dilantik, mereka mestilah boleh mematuhi atau lebih baik daripada PDP sedia ada, kalau dari segi kos, adakah ia dapat mengekalkan kos sedia ada atau lebih rendah," ujarnya.

Fadillah menambah, jika PDP sedia ada dibatalkan, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dari segi bayaran pampasan dan mengambil masa bagi melantik PDP baharu.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika PDP sedia ada dibatalkan kerana tiada perincian mengenai status terkini projek Lebuhraya Pan Borneo.

"Tetapi pada masa ini saya melihat PDP yang ada sekarang telah melaksanakan tugas dengan baik, sudah mencapai lebih 50 peratus pelaksanaan, dua pakej sudah siap.

"Lazimnya kita tidak 'menghukum' kontraktor atau pihak yang melaksanakan tugas dengan baik, dengan menamatkan kontrak mereka," ujarnya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada kerajaan sedia ada dan Baru Bian sebagai menteri bertanggungjawab untuk membuat keputusan.

"Seluruh aspek perlu dilihat, kerana keutamaan adalah memastikan projek ini siap pada waktu ditetapkan mengikut kualiti dan pada kadar kos telah ditetapkan termasuk pampasan kepada PDP sedia ada iaitu LBU (Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd).

"Perkara ini yang perlu diambil kira oleh Baru Bian dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng," katanya.

Di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini, LBU dilantik sebagai PDP untuk mengurus projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang bernilai kira-kira RM16 bilion.