Selepas PH Ambil Alih Putrajaya, Kedudukan Politik Orang Melayu Muslim Yang Dominan Beralih Kepada Bukan Muslim – Naib Presiden Berjasa

544

SAYA yakin ramai umat Islam belum peka dengan istilah dominan, berbanding demokrasi.

Pagi ini, kita menerima berita Dr Zakir Naik dilarang berceramah di seluruh negara. Saya bukan mahu bercakap tentang pendakwah itu, tetapi mengenai ciri dominan dalam demokrasi.

Kes Dr Zakir Naik hanyalah contoh terkini bagi rantaian kes yang membuktikan kedudukan Islam dan Melayu sudah tidak lagi dominan dalam politik demokrasi tanah air.

Sejak PRU 12, kuasa politik orang Melayu sudah tidak lagi hegemonik, walaupun mereka masih dominan.

Terdapat banyak ketidakakuran sosial berlaku dalam kalangan bukan muslim, yang berkempen bagi menolak identiti Islam dan Melayu yang ada pada negara kita.

Tuntutan IFC, Hindraf, Bible bahasa Melayu, Kalimah Allah, hanya sekadar contoh isu-isu ketidakakuran sosial yang menjadi petanda penolakan hegemoni Melayu Islam di negara.

Ketidakakuran sosial bukan muslim ini disambut dengan komitmen penuh oleh blok parti pembangkang, yang DAP amat dominan di dalamnya sejak awal penubuhan Pakatan Rakyat hingga Pakatan Harapan.

Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kuasa, maka berakhirlah kedudukan politik orang Melayu muslim yang dominan. Dominasi itu kini beralih kepada bukan muslim.

Keadaan runtuhnya hegemoni, diikuti dengan hilangnya dominasi ini sudah dijangka sedari awal oleh pihak yang tidak menggunakan kaca mata politik kepartian dalam membaca senario politik negara.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan seperti Muafakat adalah pihak yang melihat senario politik negara sejak pasca PRU12 menerusi kerangka pertembungan kuasa antara muslim dan bukan muslim, bukan kerangka kepartian yang sempit.

Pada PRU13, beberapa orang pimpinan ISMA masuk bertanding atas tiket parti BERJASA, di kawasan-kawasan yang secara tradisinya diberikan kepada bukan muslim oleh kedua-dua blok parti kerajaan dan pembangkang, walaupun mempunyai bilangan pengundi majoriti muslim.

Mesej yang mahu dihantar, walaupun disambut dengan sinis dan ejekan, ialah kita mesti dapatkan sebanyak mungkin kerusi muslim demi mengekalkan dominasi kuasa di tangan muslim.

Pasca PRU13, berlaku perkembangan yang positif apabila PAS “bercerai” dengan DAP. Tetapi perkembangan itu tidak menjanjikan apa-apa apabila berlaku perlawanan tiga penjuru pada PRU14. Kelihatan jelas sekali aspek dominan mesti di tangan muslim masih dipandang remeh, berbanding semangat kepartian.

Keadaan bertambah buruk apabila Bayan Linnas Mufti Wilayah Persekutuan sebelum PRU14 pula menyatakan hukum asal memilih orang kafir ialah harus. Jelas sekali Bayan itu ditulis dalam keadaan tidak peka dengan aspek dominasi kuasa dalam sistem demokrasi. (Istilah “hukum asal” dipinda selepas PRU14).

Umat Islam wajib memiliki kuasa pada kadar mampu melindungi kepentingan Islam di negara ini. Kuasa yang dimiliki oleh umat Islam pada hari ini jelas sekali sudah tidak mampu menjaga agama. Kuasa mereka tidak dominan.

Sebahagian umat Islam bersorak sorai kerana dapat habuan kerusi di Parlimen dan pelbagai jawatan pemerintahan. Tetapi mereka buta tentang hakikat dominasi dalam sebuah sistem demokrasi.

Imam al-Juwainy menyatakan tugas pertama pemerintah ialah menjaga asas agama (اصل الدين) iaitu dengan menjaga iman orang-orang Islam daripada ancaman ajaran sesat.

Lima buku Faisal Tehrani yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri telah dibatalkan pengharamannya oleh mahkamah, dan Tommy Thomas yang mewakili kerajaan (KDN) membuat keputusan untuk tidak merayu.

Saya tidak boleh menyenaraikan bukti-bukti lain yang menunjukkan kuasa yang ada di tangan umat Islam sekarang sudah tidak dominan dan sudah tidak mampu melindungi kepentingan agama Islam.

Ini kerana saya bimbang tulisan ini akan jadi terlalu panjang. Anda boleh diskusikan bersama rakan-rakan dalam mana-mana wacana maya mahupun alam nyata dan senaraikanlah kes-kes yang berlaku.

Pesanan saya ialah pemimpin umat Islam perlu peka tentang aspek dominasi kuasa. Belajarlah dengan kadar segera. Jangan berbangga dengan seruan demokrasi tetapi kita tidak faham bagaimana kuasa dalam demokrasi itu teragih.

Terakhir, kita perlukan minda yang tepat membaca cabaran sebenar umat Islam pada hari ini dan hari mendatang.

Kita perlukan pimpinan baharu yang cepat belajar daripada pelbagai pengalaman lalu, mempunyai aset pengetahuan tentang tuntutan agama dan kecekapan mengurus perjalanan sebuah bangsa yang sedang menempuh waktu sukar.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden Berjasa