Selepas Tular, Ini Penjelasan Berhubung Isu Pengkorporatan JKR Dari Pihak Pengurusan.

873

Di bawah ini adalah kenyataan penuh media terhadap isu pengkorporatan Jabatan Kerja Raya yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan jabatan tersebut;

Baru-baru ini isu pengkorporatan Jabatan Kerja Raya telah tular di laman media sosial. Bagi mengelakkan tanggapan dan andaian tidak benar berkenaan isu ini, adalah menjadi tanggungjawab Jabatan untuk memberi penjelasan supaya semua pihak jelas berkaitan perkara ini.

Sebagai sebuah agensi pelaksana dan penasihat teknikal kepada kerajaan, JKR komited dalam meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan bagi menghasilkan produk infrastruktur berkualiti tinggi serta memenuhi kepuasan pelanggan berteraskan kepada amalan professionalisme yang terbaik.

JKR sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan bagi memastikan visi JKR untuk menjadi pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek dan perkhidmatan kejuruteraan demi pembangunan infrastruktur negara melalui modal insan yang kreatif dan inovatif serta teknologi terkini tercapai. Pelaksanaan fungsi Jabatan juga perlu dilakukan secara kreatif dan inovatif agar dapat mencapai tahap produktiviti tertinggi berdasarkan sumber manusia sedia ada.

Salah satu usaha tersebut adalah mengkaji senario sekiranya JKR dipindahkan daripada sebuah jabatan kerajaan kepada satu entiti lain melalui proses pengkorporatan. Walau bagaimanapun, ia masih di peringkat awal penilaian kajian (preliminary study) terhadap kebolehlaksanaan cadangan tersebut. Penilaian yang dijalankan merangkumi aspek pembangunan dan pelaksanaan simulasi keupayaan berdasarkan kepada pelbagai faktor (dalaman dan luaran), kesan jangka masa panjang dan senario bagi memastikan hasil penilaian dan syor yang dikemukakan kelak akan teratur, telus dan memberi nilai faedah terbaik kepada kerajaan.

Adalah menjadi matlamat JKR untuk memastikan kajian ini memberi manfaat kepada semua pihak yang berkepentingan terutamanya warga JKR, pemain industri, rakyat dan negara. Melindungi kepentingan warga JKR khususnya dan warga perkhidmatan awam umumnya, telah termaktub di dalam Pekeliling Perkhidmatan 6/2000 yang menjelaskan sebarang usaha ke arah pengkorporatan hendaklah memastikan syarat perkhidmatan baru secara pakej tidak kurang baiknya daripada terma dan syarat perkhidmatan kerajaan. Sekiranya kajian mendapati faktor utama ini tidak dapat dipenuhi, cadangan kebolehlaksanaannya tidak akan diteruskan.

Oleh kerana kajian ini masih di peringkat awal pengumpulan dan penilaian data, penglibatan warga JKR dalam kajian ini masih lagi minimum. Namun demikian, salah satu perbatuan utama (milestone) dalam pelaksanaan kajian ini adalah untuk mendapat maklum balas daripada warga JKR yang akan diadakan melalui kaedah kaji selidik (survey) dan sesi libat urus (engagement) untuk memastikan sebarang usaha ke arah pengkorporatan ini memberi keutamaan kepada kebajikan dan masa depan warga JKR.

JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA
8 April 2019
3.45 petang

BACA JUGA: Dokumen Perincian Pengkorporatan JKR Tersebar : Ketahui Nasib Kakitangan Yang Menolak Dasar Ini Melalui ‘Slide’ Yang Dikongsikan

BACA JUGA: Individu Terlibat Sediakan Memorandum Bantah ‘Penswastaan’ JKR Disiasat?