Sheikh Omar Mampu Jadi “Jambatan” Perkenal Islam Kepada DAP – Nik Omar

145

KOTA BHARU: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali, dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mampu menjadi perantaraan atau ‘jambatan’ bagi memperkenalkan Islam sebenar kepada orang bukan Islam.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Aziz, berkata pelantikan Sheikh Omar sebagai anggota lembaga pemegang amanah YADIM itu juga dapat dijadikan saluran untuk memberi nasihat berkaitan Islam jika terdapat kenyataan daripada kepemimpinan DAP mengenai perkara itu.

Katanya, beliau berkeyakinan bahawa semua yang dilantik tidak akan membawa agenda politik dalam agensi berkenaan, sebaliknya akan menggunakan kepakaran, pengalaman serta kelayakan dalam melaksanakan tugas serta peranan utama YADIM.

“(Mereka) yang tidak setuju adalah alasan DAP mempunyai agenda bersembunyi. (Tapi) kita masih berkeyakinan apabila DAP bersetuju membina Malaysia baharu, mereka bersedia daripada awal untuk patuh kepada perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu, serta Raja-Raja.

“Kesemua yang dilantik ada kelayakan, kemahiran dan pengalaman tersendiri, bukannya ahli politik semata-mata, malah dalam perjumpaan suai kenal sebentar tadi, dijelaskan politik hanya satu cabang kehidupan mereka, namun masih membawa perkara sama iaitu mahu sampaikan dakwah kepada rakyat Malaysia dan bukan Islam.

“Dalam YADIM, kita bawa wawasan ubah pemikiran iaitu memperkenalkan pendekatan baharu dengan membawa Islam seperti mana diajar Nabi Muhammad SAW supaya rakyat Malaysia beragama Islam boleh terima Islam sebagai satu cara hidup terbaik dan orang bukan Islam pula tidak takut dengan Islam serta selesa di bawah pentadbiran patuh syariah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mengesahkan pelantikan Sheikh Omar sebagai anggota lembaga pemegang amanah YADIM dan pelantikan itu tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakan dimilikinya.

Ditanya mengenai lantikan politik dalam YADIM bukan seperti pemerintahan sebelum ini, Nik Omar mempersoalkan, jika semua lantikan tidak membabitkan orang politik, adakah mereka boleh beri jaminan mampu melaksanakan hasrat negara dan kerajaan baharu.

Katanya, tidak semua kementerian dan agensi utama dilantik dalam kalangan orang politik dan jika ada sekalipun, mereka mempunyai kepakaran berbeza.

“Kerajaan terdahulu lebih banyak membabitkan orang politik dalam jawatan penting di setiap kementerian.

Kalau mereka tidak setuju kerajaan melantik orang politik dalam beberapa agensi utama, kita nak tanya macam mana lantikan di Terengganu dan Kelantan?

“Kita lihat kebanyakan mereka adalah ahli politik. Jadi, apa masalahnya kerana yang penting dia berkelayakan dan membawa agenda untuk kebaikan negara bukannya politik,” katanya.