Siasatan Kematian Adib : Polis Akan Pamer Semula Gambar Perusuh

335

KUALA LUMPUR: Polis akan mempamerkan semula gambar individu yang dipercayai berada di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada malam kejadian rusuhan tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata usaha mengesan mereka kini sedang giat dilakukan oleh polis kontinjen Selangor dan Bukit Aman.

“Individu-individu itu dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di lokasi itu,” katanya pada sidang media harian di Bukit Aman, di sini.

Pada 27 Sept lepas Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Dalam kejadian pada 27 Nov tahun lepas, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah susulan kejadian rusuhan di hadapan tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis tahun lepas di Institut Jantung Negara.