“Sokongan Berkurangan, Penyokong Saya Dilantik Jadi Menteri” Luah Tun M

479

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dipercayai sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang cukup bagi membolehkan beliau mentadbir negara.

Menurut Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan yang dipimpin Muhyiddin dijangka mampu untuk bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Boleh bertahan sampai PRU. Sekarang ini bila dia (Muhyiddin) jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang. Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana.

“Kita dahulu mempunyai kelebihan sebanyak 114 kerusi tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang. Jadi dalam Dewan Rakyat kita hendak bawa usul tidak percaya pun tidak mungkin berjaya. Sebabnya dia sudah ambil orang saya menyebelahi dia.

“Memanglah bila dia tawarkan jadi menteri, susah bagi orang nak tolak. Saya tidak boleh tawarkan apa-apa pun,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di sini semalam.

Berlangsung selama 80 minit, wawancara itu ialah temu bual pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Wawancara yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana itu turut dihadiri Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang Berita, Badruldin Zakaria.

Dr Mahathir ketika ditemu bual dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam. – Foto ASRIL ASWANDI
Dalam temu bual itu, Dr Mahathir yang kini sudah berusia 94 tahun turut berharap agar Muhyiddin dapat meneruskan dasar-dasar yang telah dilakukan oleh beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri ketujuh selama 22 bulan.

“Saya minta kalau boleh Kabinet jangan gugurkan dasar-dasar yang baik yang telah kita adakan. Umpamanya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Itu satu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan,” ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan disebabkan oleh konspirasi, Dr Mahathir berkata, ia berpunca daripada perbuatan bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Yang betul-betul berkonspirasi ialah Najib. Apabila dia kalah, maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang.

“Sebab itu dia mencuba dengan begitu lama namun pendekatan beliau tidak berkesan dan akhirnya gagal, akhirnya kami yang menang,” katanya.

Beliau berkata, Najib dan Pas masih tekankan tentang naratif Melayu Islam dan cuba mencari sokongan daripada Bersatu untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam dan DAP ‘dianggap sebagai jahat’.

“Kita kena singkirkan DAP, jadi kita kena bekerjasama dengan UMNO. Jadi tiba-tiba orang yang kalah dianggap menang, manakala orang yang menang dikatakan kalah.

“Ini sebenarnya konspirasi siapa, adakah saya? Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi Perdana Menteri.

“Saya ingat saya jadi Perdana Menteri, bila sampai masanya saya akan letak jawatan dan itu tidak menjadi masalah,” tegas beliau

Tambah Dr Mahathir, Najib mahu mendapatkan kembali kuasa dengan secepat mungkin kerana tidak lama lagi keputusan perbicaraan akan diumumkan dan beliau mungkin dihukum.

“Jadi itulah konspirasi mereka, macam mana nak jadi kerajaan setelah kalah dengan meyakinkan ahli-ahli Bersatu untuk menyokongnya dan keluar daripada parti Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan jatuh. Sekarang ini mereka dah menang,” ujar beliau.