Sokongan Merosot Kerana Ada Yang Kecewa Kerajaan PH Tegas Banteras Rasuah – Tun M

489

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kepemimpinan beliau merosot disebabkan ada pihak tidak senang hati dengan ketegasan kerajaan membanteras rasuah.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, kerajaan akan terus memerangi rasuah yang merosakkan negara dan akan memastikan parti pemerintah tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang terpalit salah guna kuasa dan penyelewengan.

Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu ada pihak sudah biasa mengamalkan rasuah dan kini mereka kehilangan punca pendapatan haram itu selepas kerajaan baharu berusaha menyekat perbuatan terbabit.

“Dulu kita tahu ada orang tertentu dapat perlindungan dari jentera dan pegawai kerajaan kerana rasuah, apabila kita usaha menghentikannya, maka pegawai kerajaan tertentu ini tiada pendapatan tambahan dan mereka kecewa, (malah) mereka rasa kerajaan kleptokrasi (terdahulu) lebih baik daripada kerajaan demokrasi.

“Sebab itu sokongan pada kerajaan ini dan saya sendiri merosot, tetapi kita akan terus bersihkan negara dari rasuah, kerana rasuah akan hancurkan negara dan menyebabkan kos hidup meningkat kerana setiap yang kita belanja kena tambah kos rasuah,” katanya pada Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Perdana Menteri turut mengingatkan pegawai dan jentera kerajaan supaya jangan mengambil walau satu sen duit rasuah atau hadiah daripada pihak yang inginkan balasan, termasuk jika ditawarkan rumah dengan harga lebih murah.

Beliau berkata, berbanding pegawai kerajaan di zaman pemerintahan British yang mengamalkan gaya hidup barat seperti meminum arak, pegawai kerajaan sekarang dilihat lebih kuat pegangan agama, namun apabila ditawarkan rasuah tetap menerimanya.

“Sekarang (pegawai kerajaan) lebih warak dari dulu… ramai ada tanda di dahi kerana tak tinggal solat lima waktu, jelas karektor pegawai kerajaan sudah bertukar, pegangan agama lebih kuat, pergi umrah tiga empat kali, tetapi kita dapati bila duit datang (ditawarkan rasuah) terima juga.

“Ini yang peliknya, kalau arak itu haram, rasuah juga haram kerana boleh rosakkan negara, kalau hapus rasuah pentadbiran kita lebih licin. Sebab itu anggaplah rasuah haram, sama seperti minuman yang haram, kalau ada sifat macam itu, kita tak akan hadapi benda yang jijik ini.

“Saya yakin apabila tolak rasuah secara menyeluruh, maka negara kita akan jadi negara maju, dihormati dan jadi contoh kepada dunia, saya harap sifat ini (menolak rasuah) ada dalam diri setiap seorang daripada kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat tentu tidak menolak kerajaan yang mentadbir negara selama 61 tahun jika pemimpinnya tidak mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, sebaliknya kerajaan terdahulu itu melakukan banyak kerosakan hingga dikenali sebagai kerajaan penyangak.

“Rakyat tak nak (kerajaan terbabit rasuah) sebab itu kerajaan lama dijatuhkan, apakah kerajaan baharu juga akan jadi penyangak, mungkin kalau kita tak jaga-jaga, tetapi setakat ini belum nampak kecenderungan untuk salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui media, Dr Mahathir berkata, beliau tidak bimbang dengan hasil kajian firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center, yang menunjukkan kemerosotan tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan PH.

“Bila kita buat sesuatu, sudah tentu ia membuka kepada kritikan, bila berada dalam pembangkang kamu tidak buat apa-apa kecuali mengkritik. Kita tahu bila jadi kerajaan kita akan dikritik dan hilang sedikit populariti,” katanya.

Ditanya adakah ia akan menjejaskan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Dr Mahathir berkata, ia masih jauh namun buat masa sekarang kerajaan memberi tumpuan untuk membersihkan kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Menjawab soalan sama ada beliau bimbang dengan data kajian itu, Perdana Menteri berkata: “Saya tak bimbang.”

Keputusan tinjauan pendapat oleh Merdeka Center baru-baru ini mendapati kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PH merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei tahun lalu kepada 39 peratus pada 11 Mac lalu.

Kaji selidik membabitkan 1,204 pengundi yang dijalankan di seluruh Malaysia antara 5 dan 11 Mac lalu itu turut menunjukkan hanya 34 peratus responden percaya negara kini berada di landasan yang betul berbanding 55 peratus pada Ogos 2018.