SPR Akan Siasat Manogaran Jika Ada Fakta Yang Menyokong Pendakwaan

251

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini menimbang untuk mengambil tindakan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ia berkenaan tindakan Manogaran memakai baju yang memaparkan logo PH di pusat mengundi ketika PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu.

NGO pilihan raya Bersih sebelum ini menggesa SPR membuat laporan polis terhadap timbalan pengerusi DAP Pahang itu kerana tindakannya yang menyalahi Seksyen 26(1)(g) akta itu, yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Pengerusi SPR Azhar Harun berkata pihaknya akan menyiasatan Manogaran mengikut seksyen itu “jika ada fakta yang menyokong dakwaan”.

“Saya akan mendapatkan nasihat perundangan daripada jabatan perundangan kita berkenaan semua dakwaan kesalahan pilihan raya yang dalam pengetahuan kami.

“Tindakan sewajarnya mungkin dalam bentuk laporan terhadap badan penyiasat yang bertanggungjawab. Berikan kami sedikit masa untuk menelitinya,” katanya menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini, hari ini.

Pada hari mengundi Sabtu lalu, Manogaran yang berpakaian baju berlogo PH tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Senderut di Kuala Lipis. Beliau diminta pegawai SPR untuk beredar daripada situ.

Beliau kemudian memohon maaf dan berkata beliau tidak sedar memakai baju itu kerana sudah dua minggu berbuat demikian.

Bersih menyifatkan alasan itu sebagai tidak kukuh dan menggesa polis dan Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan.