SPR Buat Laporan Polis Terhadap Calon PH Cameron Highlands

153

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran kerana menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Laporan polis itu dibuat oleh petugas SPR di Balai Polis Sungai Koyan di Lipis, Pahang hari ini.

“SPR menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan dibuat terhadap ahli politik DAP itu kerana memasuki pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Senderut pada hari pengundian dengan memakai baju berlambang parti.

Terdahulu, Manogaran mendakwa tidak perasan memakai baju berlambang parti kerana telah menjadi kebiasaan dan memohon maaf atas “perkara yang tidak disengajakan” itu.

Mengikut peraturan SPR, mana-mana individu tidak dibenarkan memakai lambang parti dalam jarak 50 meter daripada pusat mengundi.

Sementara itu, 4 lagi laporan polis berkaitan barung-barung yang didirikan oleh parti-parti politik pada hari mengundi, melibatkan 9 pusat mengundi di DUN Tanah Rata dan 1 pusat mengundi di DUN Jelai.

“SPR mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi setiap undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan bagi memastikan proses pilihan raya yang telus dan adil dapat dilaksanakan,” katanya.