SPRM Tiada Kuasa Siasat Jika Menteri, Ahli Parlimen Tipu Pengisytiharan Harta

359

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan pengisytiharan harta yang dibuat oleh anggota eksekutif dan anggota Parlimen.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shamsun Bahrin Mohd Jamil berkata, suruhanjaya anti-rasuah itu tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini, tiada peruntukan dalam undang-undang mengenai perkara ini (pengesahan perisytiharan),” katanya kepada Malaysiakini.

Menteri Undang-Undang VK Liew sebelum ini berkata terpulang kepada SPRM untuk menyiasat jika Menteri Pelancongan Mohammadin Ketapi telah membuat pengisytiharan palsu apabila mengisytiharkan aset sebanyak RM9,388.

Mengulas mengenai kes Mohammadin ini, Shamsun berkata SPRM hanya ‘penyimpan’ pengisytiharan aset.

“Kamu perlu tanya kepada menteri sendiri (jika dia isytihar di bawah nilai) kerana kita tidak mengesahkan maklumat yang diterima.

“SPRM hanya “penjaga” pengisytiharan aset yang diberikan kepada kita,” katanya.

Mohammadin minggu lalu berkata aset bernilai RM9,338 itu merujuk kepada motosikal miliknya, memandangkan beliau tidak memiliki harta.

Menteri itu juga berkata beliau tidak mahu membeli harta, sebaliknya menyimpan wang bagi tujuan persaraan.

Menurut portal pengisytiharan harta SPRM, gaji menteri berkenaan adalah sebanyak RM54,979.53 sebulan.

Mohammadin juga mendakwa tidak memiliki harta kerana rumah keluarganya adalah miliki isterinya.

Menariknya, rumah berkenaan tidak diisytiharkan, walaupun portal itu menjelaskan pengisytiharan harta termasuk aset milik isteri.

Shamsun sebelum ini juga mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa aset yang diisytiharkan juga mesti termasuk simpanan tunai.

‘Pendekatan separuh masak’

Pelaksanaan pengisytiharan harta yang merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia menerima pujian sebagai sebahagian daripada agenda reformasi Pakatan Harapan.

Bagaiamanapun pengkritik seperti badan pemantau anti-rasuah, C4 percaya ia hanya merupakan pendekatan separuh masak.

Laman web itu hanya menunjukkan pendapatan bulanan, jumlah nilai aset, bila ia diisytiharkan dan adakah perisytiharan itu termasuk aset ahli keluarga.

Bagaimanapun, ia tidak memberikan pecahan aset atau perbandingan sejarah untuk melihat jika terdapat peningkatan mendadak dalam penambahan aset.

Laman itu pada masa ini hanya menunjukkan aset menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan anggota parlimen Pakatan Harapan.

Pada Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada speaker, yang kemudian akan berkongsi maklumat itu dengan SPRM.

Anggota Parlimen BN enggan mengisytiharkan harta mereka dengan menyatakan kebimbangan terhadap privasi dan keselamatan, selain mengatakan ia di luar bidang kuasa parlimen.

Anggota parlimen PAS, juga enggan berbuat demikian sebaliknya mengatakan telah mengisytiharkan aset mereka kepada parti.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menyerahkan kepada anggota parlimennya untuk memutuskan sama ada perlu atau tidak mengisytiharkan aset mereka.

Tarikh akhir bagi anggota Parlimen untuk berbuat demikian adalah pada 5 Dis selepas dilanjutkan dari 1 Oktober lalu.

Anggota parlimen boleh dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen jika mereka gagal mematuhi peraturan berkenaan dan boleh digantung atau didenda.