Suami Tukar Kenyataan, Dakwa Mungkin Tersalah Cakap Punca Kematian Marini

854

PENJAJA makanan, A. Bakar Abdul Rahman yang sebelum ini mengaitkan kematian isterinya, Marini Kasman dengan insiden pencemaran di Pasir Gudang bertukar nada apabila akhirnya akur dengan kenyataan Kementerian Kesihatan.

A. Bakar membuat pengakuan itu selepas dipanggil polis memberi keterangan susulan penyebaran maklumat mengenai kematian isterinya di media sosial yang dikaitkan dengan pencemaran di Sungai Kim-Kim.

Ditanya mengenai temuramahnya bersama agensi berita yang memetik kenyataannya mempersoalkan kualiti udara akibat pencemaran tersebut, A. Bakar berkata, dia mungkin tersalah cakap.

“Jika saya tersalah cakap, saya minta maaf. Sebenarnya saya masih sedih dan keliru, saya pula tidak diberitahu punca sebenar kematian isteri dan apabila disoal sebegitu rupa, saya mungkin ada silap cakap.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terutama Jabatan Kesihatan dan hospital hingga mengheret tindakan undang-undang termasuk polis serta mahkamah.

“Saya tidak mahu sampai nak gali balik kubur, babitkan forensik dan sebagainya. Saya tidak rela dan reda,” katanya.

A. Bakar, 48, berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar isterinya di laman sosial sejak pagi ini.

Bapa kepada seorang anak itu membuat laporan polis sambil ditemani oleh beberapa individu yang tidak didedahkan identitinya.

Dalam satu temubual dengan sebuah agensi berita pagi ini, A. Bakar mempersoalkan kenyataan pihak berkuasa mengenai kualiti udara di Pasir Gudang sehingga menyebabkan kematian isterinya.

BACA: [VIDEO] Marini Kasman Korban Pertama Pencemaran Udara Pasir Gudang

“Dia (Marini) siap pakai mask (topeng) tapi kena juga. Jadi yang dikatakan udara kita ni selamat. Macam mana boleh kata selamat?,” soalnya dalam temubual tersebut.

Dalam temubual itu juga, A. Bakar yang juga bekas pengawal keselamatan mendedahkan kewujudan kilang-kilang di Pasir Gudang yang membuang bahan buangan tercemar, namun perkara itu tidak diketahui umum kerana tidak ada kakitangan kilang yang berani membuat pendedahan.

Pagi tadi, negara dikejutkan dengan laporan kematian Marini yang dipercayai menjadi korban pertama akibat pencemaran udara di Pasir Gudang.

Mangsa yang berusia 38 tahun dilaporkan meninggal dunia setelah mengalami sesak nafas selama beberapa hari.

Marini dari Taman Cahaya Masai, Johor meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dipercayai akibat kekurangan oksigen dalam darah.

Kejadian itu dimaklumkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan itu sambil menyatakan bahawa mangsa meninggal dunia akibat masalah jantung.

BACA: Menteri Kesihatan Nafikan Kematian Wanita Di Johor Akibat Pencemaran

Bagaimanapun, beliau mengakui mangsa mengalami gejala sukar bernafas, demam, dan batuk selama tiga hari sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 5 Julai lalu.