Pergeseran Istana, Putrajaya : Syahril A. Kadir, Bukan Anak A. Kadir Jasin

239

Pergeseran di antara Putrajaya dan Istana Johor dilihat semakin memuncak apabila Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad semalam tampil mengeluarkan perkataan yang dianggap agak kasar apabila melabelkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim sebagai “bodoh”.

Perkara itu turut mendapat perhatian wartawan prolifik, Syahril A. Kadir untuk memberikan komentar berkaitan perkara tersebut melalui facebook miliknya.

Syahril menulis;

MENANG JADI ABU, KALAH JADI ARANG

PERGESERAN antara Dr. M dan Istana Johor nampaknya makin getir dan parah sampai habis perkataan BODOH semua keluar hari ni. Hari pertama bulan suci umat Islam pulak tu.

Kalau perseteruan ini berlarutan, tiada siapa pun yang akan untung dan ketahuilah kalau ia tidak berjaya dikawal, ia akan mengancam konsep Raja Perlembagaan dan Kesultanan Melayu yang menjadi simbol kedaulatan bangsa ini.

Kem Dr M dan kem Istana Johor punya pengaruh dan penyokong yang bukan sedikit. Sepatutnya isu ini diselesaikan cara muafakat, dengan cara baik menggunakan kaedah ‘tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak’.

Namun perkembangan mutakhir ini nampaknya menjadikannya ‘rambut habis gondol, tepung habis bertarabur!’

Sesungguhnya apa yang terjadi dibimbangi akan diambil kesempatan oleh puak-puak yang memang nak sangat sistem Raja-Raja Melayu berkubur dan negara ini menuju ke sistem republik, bukan lagi sistem Raja Berpelembagaan.

Bara persengketaan ini ibarat api dalam sekam dan kanser yang membunuh dalam diam. Yang pasti pergaduhan antara Putrajaya dan Istana tidak akan menguntungkan sesiapa.

Yang kalah akan jadi abu, yang menang akan jadi arang.

Percayalah.

SYAHRIL A. KADIR, bukan anak A. Kadir Jasin.