Syed Saddiq Sokong Gesaan 3 Menteri, Zakir Naik Perlu Dihantar Pulang Ke India

375

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dengan rakan Kabinetnya supaya penceramah dari India, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India susulan kenyataan kontroversinya terhadap masyarakat India dan Cina.

Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ialah menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pertama yang tampil menyokong gesaan tiga menteri supaya kerajaan menghantar Zakir pulang ke India.

Katanya, serangan Zakir terhadap orang Cina dan India di negara ini adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia.

“Ya, serangan ke atas saudara Cina dan India merupakan serangan ke atas semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan melalui aplikasi WhatsApp kementeriannya bersama media hari ini.

Jelasnya lagi, memanggil rakyat Malaysia sebagai tetamu merupakan tindakan yang tidak masuk akal.

“Demi Tuhan, mereka tu rakyat Malaysia! Cukup cukuplah…,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menyatakan pendirian tegas supaya Zakir diusir dari negara susulan kenyataan dalam program pidatonya di Stadium Sultan Muhammad VI di Kota Bharu pada 9 Ogos lalu.

Zakir sebelum ini menafikan beliau cuba mewujudkan suasana tidak harmoni di Malaysia.

Beliau juga menjelaskan pengkritiknya salah tafsir berhubung ucapannya bagi tujuan politik dan menganiayanya.

Zakir berkata, ketika program pidatonya itu, beliau memuji langkah Malaysia mengamalkan pendekatan Islam memberi layanan adil kepada masyarakat India dan menegakkan hak mereka.

Malah katanya, situasi itu berbeza di India di mana kerajaan India gagal melakukan perkara sama bagi melakukan sesuatu terhadap golongan minoriti.