Taraf Ekonomi Penduduk Semakin Meningkat, Rumah Mampu Milik Ditetapkan Bawah RM300,000

300

KERAJAAN menegaskan harga rumah mampu milik di negara ini adalah di bawah RM300,000.

Paras itu dianggap sesuai dengan mengambil kira taraf ekonomi penduduk yang semakin meningkat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, garis panduan kementerian menetapkan harga rumah mampu milik adalah di bawah RM300,000.

“Justeru, jika harga rumah yang dijual melebihi paras berkenaan, ia tidak lagi dianggap rumah mampu milik.

“Rumah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 adalah untuk golongan M40,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program Kempen Pemilikan Rumah (HOC 2019) di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed. Hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon.

Mengulas mengenai HOC 2019, Zuraida berkata, lebih 20,000 unit rumah dengan nilai RM12.5 bilion ditawarkan sepanjang kempen itu.

Beliau berkata, sambutan yang diterima pada hari pertama kempen itu adalah amat memberangsangkan terutama daripada golongan berumur antara 30 hingga 45 tahun.

“Sebanyak 51 pemaju hartanah mengambil bahagian dalam kempen ini dan harga rumah yang ditawarkan adalah setinggi sehingga RM1 juta.

“Kementerian akan mempertimbangkan untuk melanjutkan kempen ini jika ia terus menerima sambutan baik daripada pembeli,” katanya.

Terdapat pelbagai tawaran dan insentif menanti pengunjung dan pembeli rumah sepanjang penganjuran HOC termasuklah rebat 10 peratus daripada pemaju, pengecualian duti setem, kemudahan pinjaman pada kadar yang menarik dan tambahan rebat sebanyak RM2,000 daripada REHDA untuk 100 pembeli terpilih.