Teresa Yakin PH Tak Akan Jadi Kerajaan Sepenggal

241

WAWANCARA | Dengan pelbagai kritikan ditujukan kepada kerajaan PH yang sudah memerintah selama 11 bulan namun gagal memenuhi janji manifesto, selain beberapa keputusan ‘pusingan-U’, serta kekalahan dalam tiga siri pilihan raya kecil (PRK), terdapat pandangan yang melihat gabungan itu hanya akan berkuasa selama sepenggal.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini dan Kini TV,Menteri Industri Utama Teresa Kok maklum dengan ketidakpuasan hati rakyat terhadap PH namun percaya gabungan itu mampu meyakinkan rakyat selepas menunjukkan perbezaan dalam pentadbiran.

Jelas Teresa, sesetengah penyokong PH tidak senang kerana mereka menjangkakan perubahan dalam waktu yang singkat.

“Mereka tidak faham bahawa kita mewarisi syarikat (kerajaan) yang mempunyai hutang besar dan banyak masalah, termasuk masalah struktur.

“Jika rakyat salahkan (kerajaan) kerana ekonomi tidak baik, kita tidak boleh lupa bahawa ekonomi dunia sedang dalam situasi buruk susulan perang dagangan AS-China yang menyebabkan negara lain turut terjejas,” katanya.

Timbalan setiausaha agung DAP itu juga berkata, sesetengah penyokong lain tidak senang dengan PH berhubung pinjaman pendidikan dan cukai.

“Saya bagaimanapun tak percaya kita akan menjadi kerajaan sepenggal,” katanya, dengan memetik pengalaman Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor pada 2008 dan terus mempertahankannya dalam pilihan raya umum selepas itu.

Kata ahli parlimen Seputeh itu, kerajaan negeri berkenaan turut berdepan masalah sama yang menyebabkan sesetengah orang berpendapat Pakatan Rakyat tidak dapat bertahan untuk memerintah negeri.

“Di Selangor, kita berdepan banyak masalah dan demonstrasi diadakan hampir setiap bulan. Tapi kita tetap dapat bertahan tiga penggal,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Teresa, untuk berkuasa lebih dari sepenggal, PH perlu mendengar maklum balas daripada rakyat dan mengembangkan agenda pembaharuan.

“Kita faham situasi ketika ini tidak berapa baik untuk orang berniaga dan orang biasa, dan kita sedang cuba perbaiki.

“Kita bukan kerajaan yang sempurna, kita ada kelemahan. Beberapa pemimpin mungkin bertindak tidak bijak sebelum ini, tapi kita tidak sempurna.

“Namun saya yakin kita akan memperbaiki ekonomi, membawa perubahan kepada institusi dan menunjukkan kita serius dalam menangani rasuah. Rakyat Malaysia termasuk dari kalangan orang Melayu akan menyokong kita.

“Saya rasa rakyat akan lihat dalam lima tahu, kita merupakan kerajaan yang lebih ideal berbanding BN,” katanya.