Terkini Video Semburit Mirip Menteri, 2 Lelaki Ditahan

296

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penahanan dua lelaki berkaitan siasatan kes penularan video semburit mirip seorang menteri kanan semalam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, ditahan malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, dalam satu kenyataan memaklumkan Lokman ditahan selepas enggan bekerjasama dengan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ke rumahnya di Taman Teknologi, Kajang.

“Pada jam kira-kira 6.45 petang, pegawai dan anggota daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pasukan Forensik PDRM Bukit Aman sedang menjalankan siasatan bersabit kes 504 Kanun Keseksaan di rumah Datuk Lokman Adam di Taman Teknologi, Kajang, Selangor.

“Semasa siasatan dijalankan polis mengarahkan beliau untuk menyerahkan telefon bimbit untuk diperiksa, namun beliau enggan memberikan kerjasama dan menjerit memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugasnya.

“Turut bersama beliau ketika itu adalah seorang lelaki yang juga menghalang tugas polis dan mengherdik polis serta melakukan beberapa provokasi lain.

“Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.

Fadzil berkata, seorang lagi individu yang ditahan adalah N Gobalakrishnan, 59, dari Kulim, Kedah.

Katanya, kedua-dua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan laporan sebuah portal berita dalam talian, Gobalakrishnan ialah bekas Ahli Parlimen Padang Serai yang juga ahli MIC.

Menurut portal berita itu, Lokman ditahan beberapa jam selepas memberi keterangan berhubung klip video seks sejenis yang didakwa membabitkan seorang menteri.

Terdahulu, Lokman semalam dipanggil ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berhubung kes video lucah membabitkan seorang lelaki yang didakwa mirip seorang menteri, selepas dia membuat laporan polis ke atas orang yang menyebarkan video lucah dan melakukan aksi video lucah.